05/08/2022
Penubuhan RADDA lengkapkan rancangan, program pembangunan Wilayah Tengah
SIBU: Penubuhan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) akan melengkapkan rancangan dan program pembangunan dirancang oleh agensi atau kementerian lain untuk memberi manfaat kepada rakyat.
Pengerusinya Datu Len Talif Salleh berkata: "Kami tidak bertindih, kami saling melengkapi, mengisi kekosongan dari segi infrastruktur, kemudahan, ekonomi, pertanian dan sebagainya. Jadi, itu sangat penting.
"Kerana mungkin ada orang berkata, kenapa begitu banyak agensi? Ini kerana, setiap kawasan di Sarawak mempunyai keunikan, kekuatan dan kelemahan tersendiri.
"Jadi, kita tidak boleh mempunyai satu saiz untuk semua. Dengan agensi lebih fokus kita boleh mengenal pasti program khusus untuk keperluan kawasan tersebut.
"Jadi, kami di RADDA mengenal pasti, kami melakukan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman) apakah kekuatan dan kelemahan kami. Kemudian, kami menyediakan preskripsi kepada kelemahan dikenal pasti.
"Sebab itu, kita tubuhkan begitu banyak agensi supaya mereka boleh fokus kepada kekuatan dan kelemahan di kawasan masing-masing. Itulah rasional di sebalik agensi ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan LAB Pembangunan RADDA di sini hari ini. Makmal itu tamat pada 3 Ogos ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar itu ditanya alasan keperluan penubuhan agensi pembangunan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Unit Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata kerajaan negeri menyasarkan menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.
Dalam dua tahun kebelakangan ini, agenda pembangunan telah terjejas oleh pandemik COVID-19.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berusaha mempercepat pembangunan terutama di kawasan luar bandar.
"Jika anda perasan semua agensi ini, RADDA dan semua agensi lain lebih menumpukan perhatian kepada kawasan luar bandar, itu adalah sebahagian daripada langkah kepimpinan GPS untuk mempercepat semua perkembangan ini.
"Untuk mempercepat semua projek pembangunan di kawasan luar bandar, inilah sebabnya mengapa RADDA dibentuk," katanya.
Mengambil kira saiz Sarawak, Abdullah berkata pendekatan lama tidak lagi boleh digunakan bagi membangunkan kawasan luar bandar.
"Sebab itu, agensi seperti ini ditubuhkan. Saya tidak fikir ada mana-mana negeri di Malaysia mempunyai kaedah pembangunan seperti ini dalam merapatkan jurang pembangunan dan keselesaan bandar dan luar bandar," jelasnya.
Kawasan RADDA merangkumi bahagian Sarikei dan Mukah seluas kira-kira 10,786 kilometer persegi terdiri daripada 11 DUN dan 10 daerah dengan populasi kira-kira 300,000 penduduk.
Makmal pembangunan RADDA adalah paling penting menyediakan laporan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum kertas kerja dibentangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/01/penubuhan-radda-lengkapkan-rancangan-program-pembangunan-wilayah-tengah