02/08/2026
OPERASI PENGUATKUASAAN BAHAGIAN SIASATAN DAN PENGUATKUASAAN TRAFIK (BSPT) DAERAH MARANG
IPD Marang melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) telah melaksanakan Operasi penguatkuasaan dan Kawalan lalulintas bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap terbaik serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
Operasi telah dijalankan bermula 29 Julai 2026 hingga 1 Ogos 2026 melibatkan kekuatan 1 Pegawai Kanan Polis dan 15 anggota IPD Marang daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama pasukan bantuan daripada bahagian, cawangan serta balai-balai di IPD Marang.
Operasi ini diketuai oleh Insp. Saiful Ridzuan Bin Samsuri, Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) IPD Marang.
Sepanjang operasi dijalankan, pelbagai pendekatan penguatkuasaan telah dilaksanakan melalui Op Lancar, Op Pemantauan RXZ Member 8.0, Op Cegah Kemalangan, Program Meet & Greet serta Op Motorsikal dan Op Samseng Jalanan dengan memberi tumpuan kepada kesalahan seperti penggunaan ekzos ubah suai yang mengeluarkan bunyi bising, motosikal yang tidak mengikut spesifikasi asal, tiada nombor pendaftaran serta tidak mematuhi peraturan, tidak memiliki lesen memandu yang sah serta kegagalan memakai topi keledar.
Hasil operasi menunjukkan sebanyak 357 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas. Selain itu, sebanyak 39 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Daripada jumlah tersebut, 30 buah motosikal adalah didapati menggunakan ekzos ubah suai jenis paip 'on' dan paip 'senapang' yang menghasilkan bunyi bising serta melanggar spesifikasi yang ditetapkan.
Alhamdulillah, hasil pemantauan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan, hanya satu (1) kes kemalangan jalan raya melibatkan peserta RXZ Member direkodkan dan kemalangan tersebut hanya mengakibatkan kecederaan ringan. Keadaan ini menunjukkan tahap kerjasama yang baik daripada majoriti masyarakat dalam dan luar daerah Marang dalam mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengutamakan aspek keselamatan.
IPD Marang menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas. Pastikan setiap penunggang memiliki lesen memandu yang sah, memakai topi keledar yang diluluskan, memastikan motosikal berada dalam keadaan baik serta mengikut spesifikasi yang ditetapkan, termasuk tidak mengubah suai sistem ekzos sehingga mengganggu ketenteraman awam. Sikap memandu atau menunggang secara berhemah, berdisiplin dan sentiasa bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya yang lain adalah kunci utama dalam mengurangkan risiko kemalangan.
IPD Marang akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara. Kerjasama semua pihak amat dihargai demi mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat, aman dan sejahtera.
"PANDU CERMAT, JIWA SELAMAT"