Maklumat Pangkalan TLDM Johor Bahru
Pangkalan ini dinamakan sebagai Pangkalan TLDM Johor Bahru kerana lokasinya yang berhampiran dengan ibu negeri Johor. Cadangan ini mengambil kira nama Pangkalan Utama yang diambil sempena bandar utama yang berhampiran. Pangkalan ini terletak di atas Lot 1827 dan Lot 50731, Mukim Plentong, Johor Bahru dengan kawasan seluas 47 ekar di mana 17 ekar telah digunakan
bagi pembinaan pangkalan dan baki 30 ekar untuk pembangunan akan datang. Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim telah berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian dan Penamaan Pangkalan TLDM Johor Bahru ini pada 27 September 2023. Projek pembinaan pangkalan ini telah bermula pada 20 Disember 2016 dan telah siap sepenuhnya untuk diserahkan kepada TLDM pada 6 Mac 2020. Pangkalan TLDM Johor Bahru ini menjadi penempatan Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM dan KD SRI MEDINI. Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM telah berpindah dari Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Laut dan beroperasi mulai 10 Februari 2020. Pangkalan baharu ini menjadi penempatan KD SRI MEDINI yang sebelum ini bertapak di kem sementara, Kem Tebrau. Kompleks ini menyediakan pusat latihan yang lengkap dan menempatkan keperluan ketenteraan terkini, keperluan infrastruktur lengkap, keperluan tempat tinggal pegawai dan anggota serta pelatih yang lebih selesa dan mesra pengguna.