17/08/2026
*PEMUDA PAS TUNTUT MENTERI BELIA DAN SUKAN JAWAB KELEMAHAN PENGURUSAN SUKMA SELANGOR*
1. Pemuda PAS Kedah menuntut penjelasan segera daripada Menteri Belia dan Sukan berhubung kelemahan pengurusan media serta ketiadaan liputan langsung beberapa acara bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, khususnya bagi acara-acara yang menjadi tumpuan rakyat seperti olahraga.
2. SUKMA merupakan temasya sukan kebangsaan yang menghimpunkan atlet-atlet muda terbaik dari seluruh Malaysia. Justeru, rakyat terutamanya belia mahu mengikuti perkembangan acara yang ditandingkan, sama ada melalui televisyen, platform penstriman rasmi atau saluran digital yang mudah dicapai.
3. Namun, timbul persoalan besar apabila peminat sukan dan pengamal media berdepan kesukaran mendapatkan akses media serta persoalan mengenai liputan langsung acara-acara tertentu. Apakah ini standard pengurusan media yang sepatutnya ditampilkan dalam sebuah temasya sukan kebangsaan?
4. Lebih mengecewakan, Kementerian Belia dan Sukan merupakan kementerian yang bertanggungjawab di peringkat Persekutuan terhadap SUKMA dan Menterinya adalah ahli Parlimen Sungai Petani, Kedah.
5. EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, YB Mohd Najwan Halimi, sebelum ini membangkitkan persoalan mengenai ketiadaan peruntukan Persekutuan kepada negeri penganjur. Beliau dilaporkan berkata Selangor terpaksa bergantung kepada dana sendiri bagi memastikan kelancaran SUKMA, malah peruntukan asal negeri dikurangkan dengan memberi keutamaan kepada acara sukan dan kebajikan atlet.
6. Pemuda PAS Kedah melihat isu ini perlu diambil tanggungjawab oleh Menteri yang berkenaan. Ia bukan sekadar soal wang, tetapi soal tadbir urus dan keutamaan. Pada hal kedua-dua kerajaan di tadbir dari pimpinan parti yang sama. Ini kelemahan tuntas.
7. Pemuda PAS Kedah menuntut penjelasan Menteri, Siapa yang bertanggungjawab terhadap pengurusan pas media dan akses pengamal media?Apakah KBS mempunyai pelan penyiaran yang jelas untuk SUKMA?Berapakah peruntukan KBS untuk kos penyiaran tersebut?Dan yang paling penting, mengapa aduan dan keresahan peminat sukan mengenai ketiadaan liputan langsung tidak diberikan respons dan tindakan pantas oleh Menteri Belia dan Sukan?Adakah isu ketiadaan peruntukan tunai kepada Selangor memberi kesan kepada aspek penyiaran dan media SUKMA?
8. Pemuda PAS Kedah juga kesal sekiranya Menteri Belia dan Sukan hanya kelihatan apabila tiba masa acara rasmi dan majlis perasmian, tetapi gagal memberikan respons apabila timbul masalah yang melibatkan kepentingan peminat sukan dan atlet. SUKMA adalah pentas untuk atlet, jurulatih dan rakyat Malaysia.
9. Pemuda PAS Kedah secara khusus menuntut penjelasan daripada Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani. Sebagai menteri, beliau sepatutnya lebih sensitif terhadap suara rakyat, termasuk peminat sukan dari Kedah dan seluruh negara yang mahu menyaksikan atlet negara bertanding.
10. Pemuda PAS Kedah menegaskan bahawa isu ini adalah soal keupayaan tadbir urus, pengurusan sukan dan hak rakyat untuk mengikuti temasya sukan kebangsaan. Jangan sibuk handak berkongres parti, tetapi kepentingan rakyat dianaktirikan.
11. Kami mendesak Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Besar Selangor memberikan jawapan dan tindakan segera. Rakyat menuntut tindakan, bukan sekadar wajah di pentas perasmian.
IBRAHIM BIN HAJI ISMAIL
KETUA PENERANGAN DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
17 Ogos 2026