08/04/2026
Alhamdulillah, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Majlis Daerah Mersing, Pejabat Daerah Mersing, agensi-agensi kerajaan serta seluruh warga atas kejayaan tersenarai sebagai salah satu daripada 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2026.
Pengiktirafan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini membuktikan bahawa Mersing bukan sahaja memiliki kualiti hidup yang baik, malah mencerminkan kekuatan nilai komuniti, keharmonian masyarakat, serta keindahan alam semula jadi yang menjadi kebanggaan kita bersama.
Sesungguhnya, kebahagiaan ini tidak hadir secara kebetulan, tetapi lahir daripada usaha berterusan semua pihak. Daripada kepimpinan, penjawat awam, komuniti setempat, hinggalah masyarakat Mersing sendiri yang sentiasa memelihara semangat muafakat, kesederhanaan, dan saling menghormati.
Namun begitu, pengiktirafan ini tidak harus membuatkan kita leka. Masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu diberi perhatian demi memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa.
Masyarakat Mersing tidak menuntut pembangunan yang bersifat mega, sebaliknya mengharapkan keseimbangan alam sekitar yang bersih dan terpelihara, kehidupan yang tenang tanpa kesesakan melampau, serta kemudahan asas yang mencukupi dan berkualiti. Dalam masa yang sama, pembangunan tetap perlu dilaksanakan secara terancang dan lestari.
Sehubungan itu, saya memohon agar pihak Kerajaan terus meneliti dan memberi keutamaan kepada beberapa keperluan utama demi masa depan Mersing:
1. Projek By-Pass Mersing iaitu pembinaan jalan dan jambatan yang menghubungkan Jalan Felda Nitar–Mersing (FT1425) ke Jalan Air Merah (J85) serta Jalan Johor Bahru–Kuantan (FT0003).
2. Pembinaan benteng pemecah ombak di Kuala Sungai Mersing bagi menangani isu hakisan dan keselamatan, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam sektor perikanan dan pelancongan.
3. Penambahbaikan bekalan elektrik, air, dan liputan telekomunikasi yang lebih stabil di perkampungan tradisi, FELDA, perkampungan Orang Asli, serta pulau-pulau.
4. Naik taraf jalan perhubungan ke Mersing dari arah Rompin, Kluang, dan Kota Tinggi, khususnya laluan berselekoh dan kawasan yang mudah dinaiki air.
Insya-Allah, dengan perancangan yang holistik dan komitmen berterusan semua pihak, kita mampu memastikan Mersing terus kekal sebagai sebuah daerah yang bukan sahaja indah, tetapi juga bahagia, sejahtera, dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.
Tahniah sekali lagi buat seluruh warga Mersing. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kita melangkah lebih jauh.
🍀Terbaik Rina Farhana 💪🏼