22/11/2024
Selepas lebih dua bulan cuba menerima takdir kehilangan suami tercinta, Puan Tan Chee Yee, 43, yang bekerja di Pelantar Ikan di Pantai Remis, Perak kini terus mengorak langkah untuk bangkit mengharungi kehidupan bersama anak-anaknya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Bukan mudah untuk menongkah arus getir hidup dengan membesarkan anak selepas kehilangan suami, Khor Hing Soon, 50, akibat pendarahan dalam otak. Apatah lagi suami pergi secara tiba-tiba tanpa meninggalkan sebarang pesan.
Namun, ketabahan seorang ibu kepada empat orang anak masih dalam lingkungan umur 8 sehingga 18 tahun serta menjaga ibu mentua, wajar dicontohi. Menurut Puan Tan, "Apa yang penting bagi saya adalah membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, walaupun tanpa suami di sisi saya."
Ziarah prihatin disempurnakan Pengurus Pejabat PERKESO Sri Manjung, Encik Mohd Shaperi Md Salleh bersama ADUN Pantai Remis, YB Puan Wong May Ing di kediaman waris. Isteri mendiang layak menerima faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat bulanan sehingga seumur hidup. Anak-anak Puan Tan turut layak menerima syer pencen penakat tersebut sehingga umur 21 tahun.
Semoga urusan Puan Tan dan anak-anaknya terus dipermudah dalam melalui kehidupan selepas kehilangan suami tercinta.