21/08/2026
LAWATAN KEBAJIKAN YB TUAN MOHD SANI BIN HAMZAN, AHLI PARLIMEN HULU LANGAT TERHADAP MANGSA KEBAKARAN RUMAH
YB Tuan Mohd Sani Bin Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat, telah mengadakan lawatan kebajikan ke atas Kpl 177923 Hafizs bin Masdin, anggota Platun 11, Kompeni C, Bn 19 PGA, yang telah ditimpa musibah kebakaran rumah sehingga mengakibatkan kerosakan besar terhadap kediaman serta kemusnahan sebahagian harta benda milik mangsa dan keluarga.
Lawatan tersebut turut disertai oleh ASP Muhammad Fakhrurazi Bin Daud (Ajutan Bn 19 PGA) ASP Muaz Bin Abdullah Habib (Kompeni Komander C) serta 4 x PRP BN 19 PGA, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap kebajikan mangsa serta keluarga.
Dalam lawatan tersebut, YB Tuan Mohd Sani Bin Hamzan telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa dan keluarga sebagai tanda simpati serta keprihatinan terhadap musibah yang sedang dihadapi. Sumbangan tersebut diharapkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban serta membantu memenuhi keperluan harian mangsa sekeluarga.
YB Tuan Mohd Sani Bin Hamzan turut menyampaikan kata-kata semangat dan nasihat agar mangsa serta keluarga terus tabah, sabar dan cekal dalam menghadapi ujian, serta yakin bahawa setiap dugaan yang dilalui pasti mempunyai hikmah di sebaliknya.
Dalam lawatan tersebut turut dimaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Selangor akan hadir untuk meninjau keadaan mangsa serta menyalurkan bantuan yang bersesuaian bagi membantu meringankan beban mangsa dan keluarga susulan kejadian kebakaran tersebut.
Kehadiran YB Tuan Mohd Sani Bin Hamzan bersama delegasi Bn 19 PGA bukan sahaja membawa sumbangan, malah turut menjadi suntikan semangat dan sinar harapan kepada mangsa sekeluarga untuk bangkit semula serta meneruskan kehidupan dengan lebih tabah.
Sesungguhnya, ketika musibah meragut tempat berteduh, keprihatinan dan huluran tangan daripada pelbagai pihak menjadi penguat kepada mangsa untuk kembali berdiri, membina semula kehidupan dan melangkah ke hadapan dengan penuh harapan.