27/08/2026
AKMAL, IF YOU CANNOT ANSWER WITH FACTS, DON’T CLOUD THE NARRATIVE
Saya menonton video Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah, mengenai RCI Tabung Haji.
PAS dituding. Gambar saya p**a dipaparkan. Gambar ketika saya berada dalam kerajaan yang menubuhkan RCI, kemudian gambar ketika saya hadir di Musyawarah Nasional, sebelum dibuat komentar bahawa sekarang saya bersama mereka yang “membantai RCI secara berjemaah.”
Saya faham naratif yang mahu dibina.
Dahulu bersama kerajaan yang menubuhkan RCI. Hari ini kononnya sudah berpusing dan bersama PAS “membantai RCI secara berjemaah”.
Cantik susunan gambarnya. Mudah p**a ceritanya.
Tetapi persoalan besar tidak boleh dijawab dengan sekeping gambar.
Sebelum menuding PAS, lihat apa sebenarnya yang kami bangkitkan.
UJSB: SIAPA SEBENARNYA PERLU DIPULIHKAN?
Dalam masa ulasan yang terbatas di Musyawarah Nasional, antara yang saya bangkitkan ialah kedudukan kewangan UJSB dan kemampuannya memenuhi obligasi sukuk kepada TH.
RCI sendiri memberi perhatian kepada risiko ini, termasuk penebusan awal sukuk dan peruntukan kerajaan RM1.73 bilion setahun kepada UJSB.
Ujian sebenar datang pada 29 Mei 2026. Sukuk Siri 1 bernilai sekitar RM12.5 bilion matang. Baki sekitar RM11.5 bilion tidak ditebus secara tunai, sebaliknya dibiayai semula melalui sukuk baharu sehingga 2036.
Berdasarkan penyata kewangan UJSB bagi 2025 yang difailkan dengan SSM, kedudukannya menunjukkan sekitar RM11.61 bilion aset, RM24.81 bilion liabiliti, retained earnings negatif RM13.20 bilion dan kerugian hampir RM776 juta.
Saya tidak menukar retained earnings negatif RM13.2 bilion menjadi “RM13.2 bilion disakau”, “hilang” atau apa sahaja bahasa politik yang mudah dijadikan slogan.
Itu istilah kamu. Itu istilah yang kamu guna pakai kepada Tabung Haji.
Tetapi angka UJSB tetap perlu dijawab.
Kalau akhirnya kerajaan perlu menyediakan peruntukan kepada UJSB untuk memenuhi obligasinya, jangan diterbalikkan seolah-olah TH yang membebankan pembayar cukai. Yang memerlukan sokongan ialah UJSB. TH sedang menunggu haknya.
Jangan sampai seperti tikus membaiki labu. Datang atas nama pemulihan, akhirnya penyelamat p**a perlu diselamatkan.
Itu “membantai RCI”?
76,000 HEKTAR LADANG TABUNG HAJI
Ahli Parlimen Tangga Batu sempat membangkitkan dalam Musyawarah tentang ladang THP.
Pada era PH 1.0 terdapat rancangan pelupusan 76,957 hektar ladang THP. Sebahagiannya sudah sampai ke peringkat SPA apabila Bumi Suria Ventures dan Maju Warisanmas, melibatkan sekitar 6,514 hektar, hendak dijual kepada Tamaco Plantation pada harga RM170 juta.
Saya sendiri menjawab isu ini di Dewan Rakyat pada 22 Julai 2020. Ketika itu kami mempersoalkan kewajaran melepaskan aset produktif secara besar-besaran ketika industri sawit sedang melalui kitaran lemah.
Kami mengambil alih kerajaan.
Kami sekat transaksi Bumi Suria Ventures dan Maju Warisanmas. Pelupusan besar-besaran hampir 76,000 hektar itu tidak diteruskan. Landbank THP kekal sekitar 100,000 hektar.
Kemudian lihat hasilnya.
THP mencatat keuntungan selepas cukai setiap tahun dari 2020 hingga 2025, dengan keuntungan terkumpul Kump**an THP sekitar RM485.44 juta sepanjang enam tahun itu.
Kalau dijual dahulu, wang masuk sekali dan balance sheet mungkin kelihatan cantik lebih cepat.
Kami memilih tidak menjual aset untuk memulihkan balance sheet. Kami memberi ruang aset produktif itu pulih dan membantu memulihkan balance sheet.
Hari ini aset masih ada. Keuntungan pun ada.
Itu juga “membantai RCI”?
THETA DAN NEXG: SOAL TIMING DAN NILAI
Pada 2 Januari 2026, TH melepaskan keseluruhan baki 27.28% pegangan dalam Theta Edge.
Beberapa minggu kemudian, anak syarikat milik penuh Theta menerima kontrak sekitar RM22.69 juta daripada TH sendiri. Pada 6 Ogos 2026, JV MRCB-Theta Edge p**a dianugerahkan projek bernilai RM3.028 bilion, dengan Theta mempunyai kepentingan 10% dalam JV tersebut.
NexG lebih menarik.
Saham Datasonic, kini NexG, ialah antara aset TH yang dijual kepada UJSB. UJSB memegangnya bertahun-tahun sebelum menjual pegangan sahamnya sehingga tidak lagi menjadi pemegang saham substansial NexG pada April 2025.
Selepas UJSB keluar, Datasonic Technologies di bawah NexG mendapat kontrak kerajaan bernilai berbilion ringgit. Menjelang Julai 2026, syarikat itu mempunyai sekitar RM2.74 bilion kontrak aktif dengan KDN, termasuk kontrak pasport enam tahun bernilai siling sekitar RM1.73 bilion, MyKad, MyTentera dan MyPOCA sekitar RM732.72 juta serta kontrak lain.
Kemudian pada 24 Julai 2026, M*F bercadang untuk kemungkinan mengambil alih Datasonic Technologies, perniagaan teras NexG, dan meminta harga indikatif. NexG memberikan penilaian indikatif sekitar RM7.5 bilion.
Pada 22 Ogos 2026, selepas isu itu menjadi perhatian umum, MKN mengumumkan kerajaan tidak akan mengambil alih Datasonic Technologies.
Saya tidak mendakwa apa yang berlaku di belakang keputusan-keputusan itu. Tetapi kronologi ini cukup untuk menuntut jawapan tentang investment judgment, timing dan opportunity cost.
UJSB mempunyai obligasi berbilion ringgit kepada TH. Maka persoalannya bukan sekadar berapa banyak aset berjaya dijual, tetapi berapa banyak nilai berjaya dipulihkan sebelum dijual, dan berapa banyak nilai muncul selepas kita keluar?
Inilah yang mengganggu success story “pemulihan hebat” yang pernah dijual kepada rakyat. Bukan RCI yang kami bantai. Naratif pemulihan itulah yang sedang diuji dengan hasilnya sendiri.
RCI JANGAN JADI SENJATA BERMUSIM
RCI dibawa ke gelanggang politik dalam kempen Negeri Sembilan untuk menyerang PN dan BN. Itu pilihan politik PH.
Tetapi apabila PAS membaca laporan yang sama, menguji syornya dan mempersoalkan hasil “pemulihan”, jangan p**a dilabel “membantai RCI secara berjemaah”.
Lebih ironis, apabila dicadangkan RCI 2.0 untuk meneliti p**a pengurusan TH bagi tempoh berikutnya, pemimpin PH sendiri menolaknya.
Kalau pengurusan lama salah, siasat. Kalau ada kesalahan, dakwa dan buktikan.
Tetapi jangan jadikan RCI lampu suluh bermusim. Terang apabila disuluh kepada lawan, malap apabila cahayanya berpusing kepada keputusan sendiri.
Saudara sendiri memilih ungkapan:
If you cannot convince them, confuse them.
Sebelum dilemparkan kepada orang lain, elok berdiri sebentar di hadapan cermin.
Sebagai Menteri Ekonomi, saya cuma nasihatkan satu perkara:
Convince us with numbers. Convince us with facts.
Bukan confuse us dengan gambar dan tuduhan simplistik. Kerja tu bagi ceplos.
Political optics may shape perceptions. Facts are impervious to spin.
Dr Marzuk Shaary
27 Ogos 2026