28/08/2026
KENYATAAN MEDIA
PEMUDA AMANAH PERAK
BENDERA TERBALIK DI WISMA MCA: JANGAN PILIH BULU, PRINSIP PATRIOTISME MESTI SAMA
Pemuda AMANAH Perak memandang serius kejadian Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak yang dipasang dalam keadaan terbalik di Wisma MCA Perak, Ipoh.
Kita boleh menerima bahawa kesilapan dan kecuaian boleh berlaku. Namun apabila ia melibatkan simbol rasmi negara dan negeri, perkara tersebut tetap tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila berlaku di premis sebuah parti politik yang telah puluhan tahun berada dalam landskap politik negara.
Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak bukan sekadar hiasan. Kedua-duanya membawa identiti dan maruah yang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira kaum, agama mahupun parti politik.
Sebab itu prinsip kita mesti konsisten.
Apabila kejadian bendera terbalik berlaku di tempat lain, jangan terlalu cepat menghukum, melabel tidak patriotik atau menjadikannya modal politik sebelum mengetahui punca sebenar.
Begitu juga apabila ia berlaku di Wisma MCA. Kita tidak perlu melompat kepada kesimpulan bahawa ia dilakukan dengan sengaja, tetapi MCA Perak tetap perlu bertanggungjawab atas kecuaian yang berlaku di premis mereka.
Jangan pilih bulu dalam soal patriotisme.
Kalau kesilapan orang lain kita tuntut penjelasan, apabila berlaku di premis sendiri juga perlu berani memberikan penjelasan. Kalau orang lain diminta memohon maaf, standard yang sama juga sewajarnya terpakai kepada kita sendiri.
Pemuda AMANAH Perak menggesa MCA Perak tampil memberikan penjelasan, memohon maaf atas kecuaian tersebut serta memastikan kejadian sama tidak berulang.
Pada masa yang sama, kami menyeru semua pihak supaya tidak mengeksploitasi kesilapan seperti ini untuk membakar sentimen perkauman atau mencetuskan kebencian.
Bezakan antara kecuaian dengan penghinaan yang disengajakan. Jika terdapat unsur kesengajaan, biarlah pihak berkuasa menyiasat dan undang-undang mengambil tempatnya.
Lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan, kejadian ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua premis, organisasi dan parti politik supaya lebih teliti ketika memasang bendera negara dan negeri.
Patriotisme bukan pertandingan siapa paling kuat marah apabila orang lain melakukan kesilapan.
Patriotisme adalah apabila kita berpegang kepada prinsip yang sama, termasuk apabila kesilapan itu berlaku di halaman sendiri.
KHAIROL NAJIB
Ketua Pemuda
AMANAH Perak