24/07/2026
KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN PAHANG
TANAH ADAT ORANG ASLI KAMPUNG SUNGAI COT DAN SELURUH PAHANG: KERAJAAN NEGERI JANGAN LEPAS TANGAN
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pahang mengambil maklum kenyataan Pejabat Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa langsung ke atas tanah negeri dalam pertikaian tanah Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran.
AMK Pahang akan terus memastikan rakyat memahami bahawa bidang kuasa berkaitan tanah terletak sepenuhnya di bawah Kerajaan Negeri, bukannya Putrajaya. Sebarang kelewatan atau alasan birokrasi melibatkan JAKOA dan PTG merupakan tanggungjawab mutlak Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui Menteri Besar, bukan mana-mana pihak lain.
Isu ini telah berlarutan sejak tahun 2015, iaitu lebih 10 tahun. AMK Pahang kesal dengan kenyataan Exco Hal Ehwal Orang Asli, Syed Ibrahim Syed Ahmad, yang mempertikaikan tuntutan enam penama Orang Asli hanya kerana rekod mereka tidak dapat disahkan.
AMK Pahang mendesak Kerajaan Negeri:
1. Menghentikan serta-merta sebarang urusan jual beli atau kerja pembangunan di semua tanah yang dipertikaikan;
2. Mengiktiraf dan menyelesaikan semua kes tanah adat Orang Asli di seluruh Pahang, termasuk di Tasik Bera, Maran, Pekan dan daerah-daerah lain, selaras dengan preseden mahkamah yang mengiktiraf hak tanah adat walaupun tanpa geran rasmi.
3. Kerajaan Negeri jangan bersikap angkuh atau cuba mengintimidasi komuniti lain dan menyelesaikan isu ini secara telus bersama komuniti, bukan sekadar melalui semakan dalaman.
"Dengar Suara Orang Asli. Hormati Hak Tanah Adat Mereka."
LEO ARREY BIN ROMANI
Ketua Biro Orang Asal Pahang
Angkatan Muda KEADILAN Pahang
24 Julai 2026