31/08/2026
PROGRAM SUBUH MACAM JUMAAT & SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SERTA KEMERDEKAAN
31 Ogos 2026 | Masjid Jamek Pekan Tanjong Piandang, Alhamdulillah, telah berlangsung Program Subuh Macam Jumaat, Sambutan Maulidur Rasul dan Sambutan Kemerdekaan bertempat di Masjid Jamek Pekan Tanjong Piandang pada 31 Ogos 2026 (Isnin).
Program dimulakan seawal 5.30 pagi dengan kehadiran jemaah bagi menunaikan Solat Subuh secara berjemaah dalam suasana yang meriah dan penuh ukhuwah, disusuli dengan Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Al-Fadhil Tuan Mohd Zuhadi bin Mohamad Saarani, Pegawai Tadbir Agama Parit Buntar.
Pengisian Subuh Macam Jumaat menjadi antara pengisian utama program, dengan mengajak masyarakat untuk mengimarahkan masjid, membudayakan solat Subuh berjemaah serta menjadikan waktu Subuh sebagai titik permulaan dalam membina kekuatan rohani, disiplin diri dan kesatuan ummah.
Program kemudiannya diteruskan dengan sarapan pagi, pendaftaran dan pelepasan para peserta bagi pelbagai aktiviti serta pertandingan sempena sambutan Maulidur Rasul dan Kemerdekaan. Turut diadakan ceramah Maulidur Rasul, pertandingan azan, mewarna, pakaian beragam, gubahan tuala, kupas epal, persembahan qasidah dan selawat beramai-ramai, serta penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Majlis turut diserikan dengan bacaan doa bersama Imam Masjid, selawat dan qasidah, sebagai tanda kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Semoga program seperti Subuh Macam Jumaat ini dapat terus menjadi wadah untuk mengimarahkan masjid, memperkukuh ukhuwah, menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta membentuk masyarakat yang bersatu, berilmu dan berakhlak...........................
Unit Dakwah PPAI Parit Buntar