02/08/2026
KELAB UNESCO UTHM PERKASA KESIAPSIAGAAN BANJIR MASYARAKAT ORANG ASLI MELALUI PROGRAM 'ENDAU ROMPIN: TRAILS OF COMPASSION'
ROMPIN, 26 Julai – Kelab UNESCO Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh komitmennya terhadap tanggungjawab sosial menerusi penganjuran program Endau Rompin: Trails of Compassion yang berlangsung pada 25 hingga 26 Julai di Kampung Orang Asli Kampung Peta, Endau Rompin, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 300 penduduk kampung berkenaan.
Program berteraskan kesiapsiagaan bencana dan pembangunan komuniti itu dirasmikan oleh Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Mersing, Abang Muhamad Khomeini bin Abang Seruji, yang memuji usaha Kelab UNESCO UTHM bersama rakan strategik dalam memperkasakan aspek keselamatan dan kebajikan masyarakat Orang Asli, khususnya dalam menghadapi risiko banjir.
Seramai 15 mahasiswa UTHM bersama dua pensyarah pengiring iaitu Encik Ahmad Khirul Nizam Bin Ali selaku Penasihat Kelab UNESCO dan Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Adib Bin Mohammad Razi Pengurus Ecohydrology & Edutourism UTHM turut bersama bagi menjayakan program tersebut melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran dan kesiapsiagaan komuniti.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah pemasangan papan tanda (signage) pandu arah laluan pemindahan banjir di beberapa lokasi strategik di Kampung Peta bagi membantu penduduk mengenal pasti laluan selamat ketika berlakunya kecemasan.
Selain itu, sebanyak 60 buah beg "Ready to Go" (RTG) yang mengandungi keperluan asas kecemasan telah diserahkan kepada keluarga terpilih sebagai persediaan awal menghadapi bencana. Program turut menyaksikan penyerahan sebuah bot kembung (inflatable boat) kepada komuniti bagi memperkukuh keupayaan penduduk melaksanakan operasi pemindahan dan menyelamat ketika banjir.
Sebagai usaha memperkukuh aspek kebajikan masyarakat, pelbagai barangan keperluan harian hasil tajaan Yayasan MR D.I.Y. turut diagihkan kepada penduduk kampung.
Menurut Pengarah Program merangkap Pengerusi Kelab UNESCO UTHM, Mohammad Hafiz Najmi bin Mohd Syariff, penganjuran program tersebut merupakan manifestasi komitmen warga universiti dalam menyumbang kembali kepada masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan yang memberi impak secara langsung.
> "Usaha murni ini merupakan satu bentuk khidmat bakti warga universiti kepada rakyat Malaysia. Sebagai institusi pendidikan tinggi, kami percaya ilmu, kepakaran dan semangat kesukarelawanan yang dimiliki mahasiswa perlu diterjemahkan melalui tindakan yang mampu memberi manfaat kepada komuniti," katanya.
Beliau berkata, Kelab UNESCO UTHM komited untuk memperluaskan impaknya bukan sahaja dalam kalangan warga kampus, malah kepada masyarakat di seluruh negara.
> "Kelab UNESCO UTHM bukan sahaja memfokuskan penganjuran program pembangunan pelajar di dalam universiti, malah turut berbakti kepada komuniti di peringkat negeri dan negara. Kami berharap lebih banyak inisiatif berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan melalui kerjasama erat bersama agensi kerajaan, sektor korporat dan badan bukan kerajaan," katanya.
Kejayaan penganjuran program ini adalah hasil sokongan padu daripada Mystarfish Foundation, MSEF, Yayasan MR D.I.Y., Farmasi Wellmart, UNESCO Chair, PLUS Malaysia Berhad dan Azhar Food Industry selaku penaja utama.
Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada Siswa Siswi Pertahanan Awam UTHM (SISPA UTHM), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Peta, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pengisian berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.
Penganjuran Endau Rompin: Trails of Compassion mencerminkan iltizam Kelab UNESCO UTHM dalam mengangkat nilai kemanusiaan, kesukarelawanan dan pembangunan mampan menerusi pendekatan yang memberi impak secara langsung kepada masyarakat. Program ini bukan sahaja meningkatkan tahap kesiapsiagaan penduduk terhadap ancaman banjir, malah mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti setempat dalam membina masyarakat yang lebih berdaya tahan, selamat dan sejahtera.
Berita diterbitkan di Malaysia Gazette pada 1 Ogos 2026:
https://malaysiagazette.com/2026/08/01/kelab-unesco-uthm-perkasa-kesiapsiagaan-banjir-komuniti-orang-asli-endau-rompin/