28/05/2026
JOHOR BAHRU, 23 Mei - Kepimpinan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang mendorong peningkatan sokongan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya negeri.
Ketua UMNO Bahagian Pulai, Nur Jazlan Mohamed berkata prestasi ekonomi Johor di bawah pimpinan Onn Hafiz turut menguatkan sokongan terhadap parti itu, dengan maklum balas di media sosial yang semakin positif.
“Dasar yang dibawa Onn Hafiz konsisten dan tepat. Golongan muda Melayu dapat merasai sendiri peningkatan ekonomi di Johor,” katanya.
Sokongan pengundi Cina dan India turut dilaporkan kembali meningkat berikutan faktor kepimpinan Onn Hafiz, yang dipuji kerana pendekatannya yang dianggap ‘tiada protokol’, menepati masa dan komited terhadap kebajikan masyarakat bukan Melayu.
Pemimpin BN turut memuji pentadbiran Onn Hafiz yang berjaya menjadikan Johor antara negeri paling ke hadapan dari sudut pelaburan, ekonomi, pembangunan infrastruktur serta pengurusan negeri yang progresif.