14/05/2026
PERTIKAI KEIKHLASAN PERMOHONAN MAAF, PAN MAHU APA?
Pertama saya tegaskan polemik kesilapan ini telah selesai dengan mohon maaf dan tarik balik. Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Ulama PAS Pusat telah dengan tegas mengeluarkan pandangan yang jelas dan penuh ukhuwah. YB Dr Nik Zawawi pun telah menyambutnya dengan permohonan maaf dan menarik balik perkataan yang digunakan demi kemaslahatan ramai. Saya kira ianya selesai di situ dan PAS subur dengan budaya matang dan sejahtera.
Kedua saya juga ingin ingatkan kepada penunggang isu ini agar berhenti dari terus menerus menangguk di air yang keruh. Isu ini telah "landing" dengan cukup harmoni. Tidak perlu bersungguh kerana si penunggang terutama dari pimpinan parti PAN, dalam isu lain yang sama melibatkan pimpinan yang mereka puja-puja ketika terpalit isu kesilapan, mereka diam tanpa sepatah haram kata.
Mana suara mereka ketika Bukit Bintang menjadi disko terbuka, menyalahi perjuangan Nabi dan para sahabat?
Mana mereka ketika semasa "geng parti abang besar" yang mereka sanjung menyinggung Sultan Selangor?
Mana mereka ketika Kelantan dicabar dengan pembatalan 16 seksyen EKJS 2019?
Ketiga saya mahu mengingatkan Naib Presiden PAN dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang agar berhenti dari mengeluarkan kenyataan yang agak kurang "sihat" kerana mempertikai keikhlasan seseorang. Permohonan maaf telah dibuat, penarikan balik perkataan yang digunakan pun telah ditarik balik. Ikhlas tidak tertulis di dahi, apa lagi ketika memakai baju oren, tidak ada kebolehan yang di istimewakan untuk membaca hati orang lain.
Cukuplah dulu tiga kerana ulasan panjang hanya akan berlalu sahaja tanpa baca. Cukup-cukup sudah, cukup sampai di sini saja. Anak muda tahu menilai mana kesilapan dan mana penunggang.
Salam hormat.
Mohd Firdaus Mohamed Nawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
26 Zulkaedah 1447H / 14 Mei 2026M