14/06/2026
PEKAN - Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Dewan Muslimat PAS Kawasan Pekan (DMPK) yang diadakan di Kompleks PAS, Permatang Pasir berjalan dengan lancar, dekat sini, semalam.
Mesyuarat kali ke-33 ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Temerloh, Hajah Salamiah Mohd Nor.
Selain merasmikan MAT, beliau yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang itu turut melancarkan Jentera Pilihan Raya Muslimat Pekan dan Tabung Dana PRU ke-16.
Mantan Ketua Muslimat, Dr Harison Mohd Amin telah diraikan dalam suasana ceria yang penuh bermakna berikutan tarikh kelahiran pemegang Diploma Pasca Siswazah, United Kingdom ini bersamaan dengan tarikh MAT.
Sementara itu, Mudirah Maahad Tahfiz Al Furqan Lilbanat, Kampung Parit, Ustazah Aisyah Soim turut diberi penghargaan sebagai penerima Anugerah Khidmat Istiqomah.
Kehadiran lebih kurang 130 orang muslimat yang terdiri daripada perwakilan dan pemerhati mewakili DUN Peramu Jaya, Pulau Manis, Chini dan Bebar ini kekal tenang bermesyuarat sambil dimeriahkan dengan cabutan nombor bertuah.
Antara yang hadir ke MAT kali ini ialah, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, Mohammed Rafiq Khan Ahmad Khan dan Ahli Jawatan kuasa Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang (DMPNP), Nor Idayu Hashim.