12/08/2026
KARNIVAL KEWANGAN ISLAM 2026 MERIAHKAN KUANTAN, HIMPUNKAN PELBAGAI AGENSI DAN KOMUNITI
Kuantan, 8–9 Ogos 2026 – Karnival Kewangan Islam 2026 telah berlangsung selama dua hari di Perkarangan Parkir Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, dengan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, institusi kewangan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi pendidikan serta komuniti setempat.
Karnival yang dianjurkan oleh Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini menjadi platform dalam memperkasakan kesedaran masyarakat berkaitan kewangan Islam, pengurusan kewangan serta kepentingan perancangan kewangan yang lebih teratur.
Antara agensi kerajaan yang turut mengambil bahagian termasuk Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Hospital Jerantut, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Penglibatan turut diserikan dengan penyertaan pelbagai institusi perbankan, GLC dan institusi pendidikan seperti UCYP, UIAM, UNITAR, UniSZA, WIDAD serta pelbagai agensi dan organisasi lain.
Dalam kesempatan ini, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melalui Unit Pembangunan Ekonomi Asnaf (UPEA) turut dijemput untuk membuka reruai pameran dan jualan sepanjang karnival berlangsung.
Reruai MUIP memberi tumpuan kepada jualan produk usahawan asnaf melalui PAZPA, sekali gus menyediakan ruang kepada pengunjung untuk mengenali serta mendapatkan produk keluaran usahawan asnaf Pahang. Selain aspek jualan, reruai MUIP turut menjadi ruang khidmat informasi kepada masyarakat setempat, khususnya bagi mendapatkan penerangan dan mengemukakan pertanyaan berkaitan bantuan zakat serta perkara-perkara berkaitan perkhidmatan MUIP.
Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan sepanjang karnival bagi memastikan pengunjung bukan sahaja memperoleh maklumat dan pengetahuan, malah dapat menikmati pengalaman yang santai bersama keluarga.
Antara pengisian yang diadakan termasuk Jualan Rahmah, reruai jualan makanan PasarLoka, pertandingan mewarna, pertandingan penalti, acara melastik, acara menyumpit, saringan kesihatan, forum, bual bicara, kuiz daripada agensi-agensi terlibat serta Fun Run.
Karnival ini turut menjadi ruang interaksi secara langsung antara agensi dengan masyarakat melalui reruai pameran dan aktiviti yang disediakan, sekali gus membuka peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan, kemudahan dan inisiatif yang ditawarkan oleh setiap agensi.
Penganjuran Karnival Kewangan Islam 2026 diharap dapat terus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang baik serta memperkukuhkan kefahaman mengenai kewangan Islam dalam kehidupan seharian.
Lebih daripada sekadar sebuah karnival, program ini menjadi medan ilmu, interaksi, peluang dan kebersamaan antara agensi dengan masyarakat, selaras dengan usaha memperkasa komuniti serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui pendidikan, kesedaran dan akses kepada perkhidmatan yang disediakan.