29/12/2025
https://www.facebook.com/share/p/1GDpjHunHb/
DIBAWAH PAYUNG LEBIH BESAR UNTUK MATLAMAT PENYATUAN UMMAH.
Perkembangan politik semasa mengajar kita satu hakikat yang semakin jelas: politik kepartian ada batasnya, tetapi amanah penyatuan ummah melangkaui segala garis parti. Apa jua dinamika yang berlaku di peringkat negeri atau pusat wajar dibaca dalam kerangka yang lebih besar kerangka tanggungjawab sejarah terhadap rakyat dan umat.
Asalnya Perikatan Nasional (PN) dibina sebagai wadah muafakat, dan PAS terus komited mempertahankan muafakat Melayu Islam walau apa juga harganya sebagai ruang kerjasama yang matang.
PAS juga telah lama melihat lebih jauh daripada itu yang mana PN bukan destinasi terakhir, tetapi salah satu kenderaan menuju penyatuan yang lebih luas.
Dalam konteks ini, UMNO bukan pihak luar, tetapi sebahagian daripada realiti umat dan sejarah politik negara.
Justeru, seruan ke arah kebersamaan tidak boleh terhenti pada sempadan gabungan sedia ada.
Melayu Islam hakikatnya berada di bawah satu payung yang lebih besar, iaitu payung penyatuan ummah, yang melangkaui nama, logo dan kepentingan parti.
Payung besar ini bukan dibina atas angka kerusi atau persaingan dominasi, tetapi atas amanah menjaga agama, kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat. Ia menuntut kematangan untuk merendah diri, keberanian untuk berdialog, dan kebijaksanaan untuk membezakan antara perbezaan strategi dengan perpecahan prinsip.
PAS berpegang bahawa muafakat itu akhlak, dan akhlak menuntut kita mencari titik temu, bukan memperbesarkan jurang. Apa jua perbezaan yang wujud hari ini seharusnya diurus sebagai perbezaan dalam keluarga besar ummah, bukan alasan untuk saling menafikan.
Sejarah telah membuktikan bahawa ketika umat bersatu, negara stabil; ketika umat berpecah, ruang terbuka luas kepada pihak yang tidak mempedulikan kepentingan Islam dan Melayu.
Justeru, kewaspadaan terhadap musuh yang menunggu di celah perpecahan perlu sentiasa diutamakan.
PAS kekal konsisten menghulurkan tangan
kepada rakan dalam PN untuk terus bertaut,
kepada UMNO untuk kembali bermusyawarah, begitu juga pada parti lain dan ngo untuk mengumpul seluruh kekuatan umat agar bernaung di bawah payung besar yang sama.
Kerana akhirnya,
parti hanyalah wasilah,
tetapi penyatuan ummah adalah matlamat.
Penyatuan adalah nikmat
Perpecahan adalah petaka yang sedang menanti. Ancaman paling utama kepada kita adalah agama dan bangsa Melayu yang menjadi tonggak kedaulatan Negara. Hilang kedaulatan dan kemuliaan sebuah negara jika lemah pegangan agamanya dan kaum yang menegakkannya.
Firman Allah swt:
وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar"
(Al Anfal : 46)
Tiada sengketa yang lebih besar dalam lipatan sejarah iaitu sengketa Aus dan Khazraj, pertembungan yang bermula dari isu yang kecil akhirnya menjadi besar sehingga ke peringkat bunuh membunuh dan menelan masa yang panjang sehingga ratusan tahun.
Namun akhirnya kekusutan itu terhurai dengan kedatangan Islam dan Nabi saw yang berjaya mentautkan hati sehingga permusuhan bertukar menjadi persaudaraan. Ini mesti menjadi matlamat kita untuk kita membina negara berdaulat yang mendapat limpahan berkat dan keredhaan Allah swt.
Dan matlamat sebesar ini menuntut kita berfikir melangkaui parti, melangkah melampaui ego, dan bersatu demi masa depan negara tercinta.
YB DATO' USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
PESURUHJAYA PAS PAHANG