31/08/2026
31 OGOS: MENGHAYATI SEJARAH, MEMPERTAHANKAN HAK, MEMPERKUKUH MALAYSIA
Hari ini bukan sekadar satu tarikh dalam kalendar. Hari ini kita memperingati dua peristiwa penting dalam sejarah Sabah dan negara kita iaitu Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.
Enam puluh tiga tahun yang lalu, pada 31 Ogos 1963, pemerintahan British di Sabah berakhir dan Sabah memulakan perjalanan pemerintahan sendiri.
Enam belas hari kemudian, pada 16 September 1963, Sabah bersama Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia.
Sejarah ini bukan untuk memisahkan kita. Sejarah ini perlu diketahui supaya kita memahami asas pembentukan Malaysia, menghormati kedudukan Sabah dan menghargai persetujuan yang telah memungkinkan negara ini dibentuk.
Malaysia tidak akan menjadi lemah apabila sejarah Sabah diakui. Sebaliknya, Malaysia akan menjadi lebih kukuh apabila sejarah dihormati, perjanjian ditunaikan dan Perlembagaan dipatuhi.
Bagi Sabah, perjuangan menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah perjuangan untuk meminta keistimewaan. Kita hanya menuntut agar segala jaminan, hak dan persetujuan yang menjadi asas pembentukan Malaysia dilaksanakan dengan jujur dan sepenuhnya.
Antara yang paling penting ialah hak Sabah terhadap Pemberian Khas 40% sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D, dibaca bersama Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Pendirian saya tetap jelas dan tidak pernah berubah:
Kerajaan Persekutuan hendaklah menarik balik rayuan yang masih diteruskan di mahkamah dan melaksanakan hak 40% Sabah tanpa berlengah, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025.
Hak ini bukan hadiah.
Hak ini bukan ihsan.
Hak ini bukan keistimewaan.
Ini ialah hak perlembagaan Sabah yang wajib dihormati dan ditunaikan.
Pada masa yang sama, kita mesti terus memelihara keharmonian antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Menuntut keadilan untuk Sabah bukan bererti menolak Malaysia. Sebaliknya, Malaysia yang menghormati sejarah, menunaikan persetujuan dan berlaku adil kepada semua wilayahnya ialah Malaysia yang lebih kukuh, bersatu dan bermaruah.
Kita mungkin berbeza dari segi sejarah, budaya dan pengalaman, tetapi kita berkongsi masa depan dalam sebuah negara bernama Malaysia.
Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026, marilah kita menghayati sejarah dengan jujur, mempertahankan keharmonian dengan ikhlas dan memperjuangkan hak Sabah dengan berani iaitu berpandukan Perlembagaan serta semangat sebenar pembentukan Malaysia.
Sabah Merdeka.
Sabah Bermaruah.
Malaysia yang lebih adil dan harmoni.
Selamat Hari Kebangsaan 2026.
Selamat Hari Sabah 2026.