13/08/2026
13 Ogos 2026 :🌻 Info Kesihatan🌻
Anak kecil sebenarnya tak pernah minta hidupnya dimulakan dengan rasa manis.
Kita yang memperkenalkannya.
Sedikit gula dalam bubur.
Biskut manis supaya dia diam.
Minuman kotak sebab “dia suka”.
Yogurt manis sebab nampak macam makanan bayi.
Kemudian lama-lama, air kosong terasa hambar dan buah pun tidak lagi cukup manis.
Yang menariknya, kesannya mungkin jauh lebih panjang daripada yang kita sangka.
Satu kajian besar yang diterbitkan dalam Science melihat satu “eksperimen semula jadi” di United Kingdom ketika catuan gula selepas Perang Dunia Kedua dihentikan.
Apabila catuan tamat, penggunaan gula hampir berganda.
Puluhan tahun kemudian, mereka yang terdedah kepada pengambilan gula lebih rendah sejak dalam kandungan hingga awal kanak-kanak didapati mempunyai risiko diabetes jenis 2 sekitar 35% lebih rendah dan hipertensi sekitar 20% lebih rendah. Permulaan penyakit juga berlaku beberapa tahun lebih lewat.
Malah, manfaat paling ketara mula kelihatan apabila sekatan gula berterusan selepas usia 6 bulan, iaitu ketika kebanyakan bayi mula diperkenalkan kepada makanan pejal.
Sebab itu 1,000 hari pertama kehidupan sangat penting.
Ia bukan bermula ketika anak sudah pandai berjalan.
Ia bermula sejak dalam kandungan.
Dan apabila bayi mula mengenal makanan, kita sebenarnya bukan sekadar mengisi perutnya.
Kita sedang memperkenalkan rasa.
Membentuk kebiasaan.
Dan mungkin menentukan apa yang dianggap “normal” oleh lidahnya untuk bertahun-tahun selepas itu.
WHO menyarankan supaya gula tidak ditambah ke dalam makanan pelengkap bayi, manakala makanan tinggi gula dan minuman manis bagi kanak-kanak kecil sebaiknya dielakkan.
Ini bukan bermaksud buah perlu dielakkan.
Bukan juga bermaksud semua karbohidrat itu jahat.
Yang menjadi masalah ialah gula bebas dan gula tambahan yang kita sebenarnya tidak perlu ajarkan kepada anak terlalu awal.
Dan ini juga bukan cerita untuk menyalahkan ibu bapa.
Hari ini gula berada hampir di mana-mana. Dalam bijirin sarapan, minuman kanak-kanak, biskut, pencuci mulut, sos malah makanan yang dipasarkan seolah-olah “sesuai untuk bayi”.
Sebab itu tugas kita bukan membesarkan anak yang “langsung tak kenal manis”.
Cukuplah jangan jadikan manis sebagai rasa yang mereka perlu cari setiap kali makan.
Kadang-kadang, hadiah kesihatan paling besar yang kita boleh beri kepada seorang anak bukan vitamin mahal.
Tetapi membiarkan lidah kecil mereka belajar bahawa makanan tidak semestinya perlu manis untuk menjadi sedap.
Public Health Malaysia