16/07/2025
KENYATAAN MEDIA MENTERI BESAR NEGERI PERLIS
PENANGGUHAN SISTEM PARKIR PALANG
1. Sistem parkir palang atau Smart Parking yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang sedang berjalan di beberapa lokasi di negeri ini pada dasarnya bermatlamat mewujudkan satu sistem pengurusan parkir yang lebih cekap bagi meningkatkan hasil negeri di samping mengelakkan berlakunya kerugian seperti yang dialami oleh pihak berkuasa tempatan itu sebelum ini.
2. Walaubagaimanapun Kerajaan Negeri Perlis sentiasa mengambil maklum aduan serta keluhan rakyat tentang pelbagai masalah yang timbul sepanjang tempoh pelaksanaan sistem parkir ini walaupun sistem ini belum berkuatkuasa sepenuhnya.
3. Justeru, mengambil kira keselesaan rakyat, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem parkir palang ini selama tempoh enam (6) bulan berkuatkuasa serta merta.
4. Sepanjang tempoh ini kerajaan negeri memberi ruang kepada pihak MPK , pihak syarikat dan semua pihak yang terlibat untuk mengkaji segala permasalahan yang timbul bagi menambahbaik pelaksanaan sistem ini sebelum ia dilaksanakan semula.
5. Semoga segala usaha murni ini menatijahkan Negeri Perlis yang lebih berkat, bestari dan lestari.
YAB TUAN MOHD SHUKRI BIN RAMLI
MENTERI BESAR NEGERI PERLIS
9 JULAI 2025 / 13 MUHARRAM 1447H