19/05/2026
KENYATAAN MEDIA
ARMADA BERSATU SELANGOR JUNJUNG KASIH DAN TAAT SETIA - TUNTUT WONG SIEW KI DAN RONNIE LIU SEGERA MOHON MAAF !
Armada BERSATU Selangor dengan penuh taat setia menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, berhubung Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor. Armada BERSATU Selangor amat terkesan apabila Baginda sendiri berkenan menyebut nama ADUN Seri Kembangan, YB Wong Siew Ki dan bekas ADUN Sg Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew secara langsung dalam kenyataan media DiRaja. Ini bukan perkara biasa. Ini adalah isyarat tegas daripada Baginda bahawa sikap dan tindak-tanduk mereka telah melampaui batas yang sewajarnya.
Dalam sesi perbahasan yang lepas, YB Wong Siew Ki telah memilih untuk mempertikaikan titah Tuanku Sultan dengan membawa hujah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan berhubung prinsip kesamarataan yang jelas tersasar dan tidak relevan. Tindakan sebegini mencerminkan sikap seorang wakil rakyat yang degil, sombong dan angkuh dengan tidak menghormati institusi DiRaja. Lebih memeranjatkan, bekas Exco DAP Selangor Ronnie Liu kemudiannya tampil mendakwa titah Sultan "tidak automatik jadi undang-undang mutlak" dan mencadangkan agar titah Baginda dicabar di mahkamah. Ini bukan sekadar kesilapan bertutur. Ini adalah tindakan yang mempersendakan institusi DiRaja Selangor secara terbuka.
Armada BERSATU Selangor menegaskan bahawa prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara bukan pilihan, bukan subjek perbahasan, dan bukan bahan untuk eksperimen politik. Ia adalah tunjang utama Rukun Negara yang wajib dipegang oleh setiap wakil rakyat tanpa mengira latar belakang. Sehubungan itu, Armada BERSATU Selangor menuntut agar YB Wong Siew Ki dan Ronnie Liu Tian Khiew memohon maaf secara terbuka kepada DYMM Sultan Selangor atas kenyataan dan tindakan mereka yang tidak beradab dan menyinggung institusi DiRaja Selangor.
HAFIZAN NAIMMAN BIN JEESIN
NAIB KETUA ARMADA BERSATU NEGERI SELANGOR
19 MEI 2026