30/06/2026
DADAH SINTETIK: ANCAMAN BAHARU YANG MEMERLUKAN TINDAKAN TEGAS DAN BERSEPADU
Ancaman dadah sintetik kini menjadi antara cabaran keselamatan paling kritikal di peringkat global dan nasional. Bahan seperti methamphetamine, fentanyl serta amphetamine-type stimulants (ATS) bukan sahaja menyebabkan ketagihan melampau, malah berisiko mencetuskan gangguan mental, tingkah laku ganas dan kematian akibat overdosis walaupun dalam dos yang kecil. Perkembangan ini menuntut pendekatan penguatkuasaan yang lebih moden, berasaskan risikan serta diperkukuh dengan teknologi dan kerjasama strategik.
💬 “Ancaman dadah sintetik bukan lagi isu jenayah semata-mata, tetapi ancaman terhadap keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. KDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan, memanfaatkan teknologi serta memperluas kerjasama strategik bagi melindungi generasi masa depan daripada ancaman ini.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri
Selaras dengan pendekatan Malaysia MADANI, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus memperkasa Smart Enforcement menerusi penggunaan analitik data, kecerdasan buatan (AI), perkongsian risikan rentas agensi serta kerjasama antarabangsa bagi membanteras sindiket pengedaran dadah. Pada masa yang sama, usaha pencegahan, pendidikan awam, rawatan dan pemulihan akan terus diperkukuh bagi memastikan institusi keluarga dan komuniti kekal menjadi benteng utama dalam melindungi masyarakat daripada ancaman dadah.
Bersama-sama kita memperkukuh budaya pencegahan, memperkasakan komuniti dan memastikan Malaysia terus aman, selamat serta bebas daripada ancaman dadah demi kesejahteraan generasi hari ini dan masa hadapan.
Sumber:
Teks Ucapan Aluan YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri yang dibacakan oleh YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Tahun 2026, 27 Jun 2026.