30/05/2026
It is getting so much harder and longer to become specialist.
Generasi Doktor Yang Tersangkut Di Ruang Menunggu
Ada satu perkara yang ramai orang luar mungkin tidak nampak.
Kerjaya doktor di KKM bukan sekadar tentang kerja syif, on-call, klinik penuh dan wad sesak. Ia juga tentang satu penantian yang makin panjang, makin kabur, dan makin melemahkan semangat.
Dulu, laluan itu lebih jelas.
Habis HO, jadi MO. Tidak lama selepas itu, sudah boleh diserap tetap. Bila sudah tetap, peluang untuk mohon HLP dan masuk latihan kepakaran datang lebih awal. Ramai doktor dulu boleh mula latihan pakar pada usia 28 atau 29 tahun.
Sekarang, umur 32 pun belum tentu dapat masuk.
Bukan sebab mereka tidak mahu jadi pakar.
Bukan sebab mereka malas belajar.
Bukan sebab mereka tidak cukup berkorban.
Tetapi kerana ramai doktor muda hari ini tersekat terlalu lama di fasa kontrak, menunggu jawatan tetap, menunggu peluang, menunggu penempatan, menunggu kelulusan, menunggu sistem yang sepatutnya membantu mereka bergerak ke hadapan.
Setiap tahun yang hilang itu bukan sekadar angka.
Ia umur. Ia tenaga. Ia fasa hidup. Ia semangat yang makin menipis.
Apabila lambat jadi tetap, lambatlah mohon HLP. Bila lambat HLP, lambatlah jadi pakar. Bila lambat jadi pakar, lambatlah p**a masuk sub-kepakaran. Akhirnya negara kehilangan masa bertahun-tahun untuk melahirkan pakar yang sangat diperlukan rakyat.
Dalam masa yang sama, beban penyakit makin bertambah.
Pesakit buah pinggang makin ramai. Pesakit jantung makin ramai. Pesakit kanser makin ramai. Warga emas makin ramai. Temujanji hospital makin panjang. Klinik makin padat.
Tetapi laluan untuk melahirkan doktor pakar p**a makin sempit.
Kemudian apabila doktor keluar KKM dan memilih menjadi GP, masyarakat mula bertanya, “Kenapa doktor semua lari?”
Mungkin soalan yang lebih tepat ialah:
Berapa lama seseorang itu mampu bertahan dalam sistem yang membuat masa depannya sentiasa tergantung?
Doktor juga manusia. Mereka ada keluarga, komitmen, usia, impian dan had emosi. Tidak semua orang mampu menunggu sampai 10 atau 15 tahun hanya untuk sampai ke tempat yang dahulu boleh dicapai jauh lebih awal.
Lebih perit apabila latihan klinikal yang sebenarnya penuh kerja, pesakit, on-call dan tanggungjawab masih dilihat seperti “cuti belajar”.
Ini bukan cuti.
Ini bukan rehat.
Ini latihan sambil bekerja dalam sistem kesihatan sebenar.
Kalau negara benar-benar mahu menyelamatkan KKM, kita tidak boleh hanya suruh doktor bersabar. Kita perlu betulkan laluan kerjaya mereka.
Sebab apabila doktor muda hilang harapan, KKM bukan sekadar kehilangan seorang pegawai.
KKM kehilangan bakal pakar.
Rakyat kehilangan akses rawatan.
Hospital kehilangan tenaga penting.
Dan akhirnya, pesakit juga yang menunggu lebih lama.
Kerjaya doktor tidak sepatutnya menjadi perjalanan yang makin “ke laut”. Ia sepatutnya menjadi laluan yang jelas, adil dan berbaloi untuk mereka yang masih mahu berkhidmat kepada negara.