01/05/2023
Satu kehilangan.... Semoga Allah SWT merahmati Almarhum jua...
Tuan Guru Haji Abdul Ghani Bin Abdullah ( 1942 - 2023)
Oleh : Tengku Yusuff
Tuan Guru Haji Abdul Ghani atau nama sebenarnya Haji Abdul Hak @ Abdul Ghani Bin Abdullah dilahirkan pada 15 Jun 1942 di Kampung Batu Hampar, Pendang, Kedah.
Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Melayu Pendang dan kemudiannya ke Pondok Kampung Batu Hampar, Pendang, Kedah. Di antara gurunya ialah Tuan Guru Haji Abdul Aziz, Pendang.
Setelah tamat pengajian, beliau bertugas di Jabatan Zakat negeri Kedah sebagai Penyelia Zakat. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya Hajah Zuhairiah Binti Mahamud, beliau telah dikurniakan 6 orang cahaya mata.
Perkembangan pengajian al-Quran Abdul Hak atau lebih dikenali dengan panggilan Abdul Ghani bermula sejak kecil lagi. Akan tetapi, ia terhenti di pertengahan jalan kerana beliau lebih menumpukan perhatian kepada nasyid, marhaban dan berzanji.
Ketika usianya menginjak 17 tahun, timbul kesedaran dalam diri untuk kembali belajar al-Quran bertarannum. Oleh itu, beliau menemui beberapa orang guru al-Quran yang masyhur pada zaman tersebut seperti Ustaz Kamaluddin Bin Saad, Tuan Haji Abdul Samad, Dato Haji Ismail Hashim dan ramai lagi bagi meneruskan minat dan niat beliau mendalami ilmu al-Quran. Berkat kesungguhan dan ketekunan dalam menuntut ilmu al-Quran akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya mendapat tempat sebagai johan qari dalam majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan sebanyak lima kali dan di peringkat antarabangsa sebanyak empat kali.
Beliau turut diundang untuk memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran di dalam dan luar negara antaranya ialah di Indonesia dan Arab Saudi. Menurut beliau lagi, bakat yang dimiliki beliau diwarisi oleh dua orang anaknya iaitu Ustaz Alaudin dan Ustaz Azraie di mana salah seorang daripadanya telah muncul johan di pertandingan Musabaqah Tilawah al-Quran Dunia-Dunia Melayu Islam 2013 yang diadakan di Melaka.
Menghargai sumbangan dan jasa yang ditaburkan oleh beliau maka Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berkenan mengurniakan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) serta pingat Dato Setia Diraja Kedah (DSDK) dan Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) dari Sultan Kedah.
*Sumber - Artikel Sejarah Tokoh Tarannum Malaysia dari KUIS & UKM