30/07/2026
MESYUARAT MIDTERM REVIEW PPLD ATM 2026 PERKUKUH HALA TUJU LATIHAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA
KUANTAN, 26 Julai 2026 – Pemerintahan Pendidikan, Latihan dan Doktrin Angkatan Tentera Malaysia (PPLD ATM) telah menganjurkan Mesyuarat Midterm Review Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai 2026 di Bilik Mesyuarat Bahaman, Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Tanjung Gelang, Kuantan.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, Panglima Pemerintahan Pendidikan, Latihan dan Doktrin ATM, serta dihadiri oleh semua komandan unit di bawah naungan PPLD ATM bersama pegawai dan staf Markas PPLD ATM.
Penganjuran mesyuarat ini bertujuan untuk menilai prestasi pelaksanaan latihan bagi separuh tahun pertama 2026 berbanding perancangan yang telah ditetapkan, di samping mengenal pasti isu, kekangan dan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan program latihan di semua peringkat di bawah PPLD ATM.
Selain itu, mesyuarat turut meneliti keberkesanan kurikulum, doktrin dan metodologi latihan agar sentiasa relevan serta selaras dengan keperluan operasi semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Perbincangan juga memberi fokus kepada penyelarasan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan sasaran latihan tahunan dapat dicapai sepenuhnya.
Dalam usaha memperkukuh keupayaan latihan ATM, mesyuarat turut membincangkan strategi mengoptimumkan penggunaan sumber termasuk aspek kewangan, tenaga pengajar serta kemudahan latihan. Penekanan turut diberikan terhadap keseragaman pelaksanaan latihan di seluruh formasi dan institusi latihan ATM bagi memastikan standard latihan yang konsisten.
Sepanjang sesi perbincangan, pelbagai keputusan strategik berkaitan hala tuju latihan bagi baki tahun 2026 telah dipersetujui. Mesyuarat ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuh koordinasi serta komunikasi antara semua pihak berkepentingan dalam pengurusan latihan ATM demi memastikan kesiapsiagaan angkatan sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, para peserta turut menyertai latihan menembak pistol yang diadakan di Lapang Sasar MAWILLA 1 bersama pegawai-pegawai MAWILLA 1. Latihan tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran pengendalian senjata api, memperkukuh kompetensi individu serta mengeratkan hubungan profesional antara warga PPLD ATM dan MAWILLA 1.
Penganjuran Mesyuarat Midterm Review 2026 ini membuktikan komitmen berterusan PPLD ATM dalam memastikan sistem pendidikan, latihan dan doktrin Angkatan Tentera Malaysia sentiasa diperkasakan, relevan serta mampu memenuhi tuntutan operasi dan cabaran keselamatan negara yang semakin dinamik.
Artikel oleh : Mej Mohd Razali bin Hashim