08/08/2026
INTEGRITI SEBAGAI TERAS REFORMASI: SESI LIBAT URUS ARPA BERSAMA INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA (IIM)
Integriti bukan sekadar nilai, tetapi asas kepada penyampaian perkhidmatan awam yang diyakini rakyat. Berlandaskan aspirasi tersebut, sesi libat urus Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) telah diadakan bagi menyelaras pelaksanaan agenda reformasi di peringkat agensi.
Dalam sesi tersebut, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri telah menyampaikan taklimat mengenai aspirasi, hala tuju, kerangka serta pendekatan pelaksanaan ARPA sebagai pemacu transformasi perkhidmatan awam. Sesi turut disusuli dengan perbincangan dan soal jawab yang memberi ruang kepada pihak IIM untuk mendapatkan penjelasan lanjut, berkongsi pandangan serta mengemukakan cadangan bagi memperkukuh pelaksanaan agenda reformasi.
Sesi ini turut memberi penekanan kepada pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) serta Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (National Integrity Enculturation Strategy, NIES) yang akan diperkasakan menerusi ARPA. Langkah ini akan memperkukuh pelaksanaan kedua-dua inisiatif secara lebih bersepadu dan terselaras dalam membudayakan integriti, mempertingkat tadbir urus serta memperkukuh amalan etika merentas sektor awam.
Kolaborasi strategik antara PACU dan IIM ini mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan pelaksanaan ARPA diterjemahkan kepada perubahan yang nyata melalui penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif, berintegriti dan berorientasikan keberhasilan demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara.