22/06/2026
Bunga Kantan: Khazanah Herba Tropika Bernilai Tinggi
Bunga kantan atau Etlingera elatior merupakan herba tropika berumpun daripada keluarga halia yang sangat sinonim dengan masakan tradisional Malaysia.
Tumbuhan ini tumbuh daripada rizom beraroma di bawah tanah dan mampu mencapai ketinggian sehingga lima hingga enam meter apabila matang.
Keunikan bunga yang berwarna merah jambu hingga merah terang menjadikannya bukan sahaja menarik sebagai tanaman landskap, malah mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
Dalam bidang kulinari, bunga kantan terkenal sebagai bahan perasa semula jadi yang memberikan aroma dan rasa istimewa kepada pelbagai hidangan seperti laksa asam, nasi kerabu, nasi ulam, gulai dan sambal.
Kehadirannya dalam masakan bukan sahaja meningkatkan cita rasa, malah mencerminkan kekayaan warisan gastronomi tempatan.
Selain digunakan dalam masakan, bunga kantan turut dimanfaatkan dalam amalan perubatan tradisional.
Ia dipercayai membantu melegakan masalah seperti batuk, demam, sakit perut dan gout, selain digunakan dalam penjagaan wanita selepas bersalin.
Kajian saintifik juga mendapati bunga kantan mengandungi sebatian bioaktif seperti fenol, flavonoid dan tanin yang berpotensi memberikan aktiviti antioksidan, antibakteria, antikulat, antihiperglisemia dan hepatoprotektif.
Dari aspek penanaman, bunga kantan sesuai ditanam di kawasan tropika yang lembap, mempunyai bekalan air mencukupi serta tanah yang subur.
Tumbuhan ini juga boleh diintegrasikan dalam sistem agroforestri kerana mampu tumbuh dengan baik di kawasan yang sedikit teduh.
Kitaran perkembangannya melibatkan fasa vegetatif dan reproduktif, dengan tempoh sekitar 155 hari dari pucuk hingga jambak bunga layu serta kira-kira 60 hari dari kemunculan jambak sehingga bunga mekar sepenuhnya.
Dengan pelbagai kegunaan dalam masakan, kesihatan dan potensi pembangunan produk makanan berfungsi, bunga kantan merupakan antara tanaman herba tempatan yang wajar dipelihara dan diperkembangkan sebagai sumber makanan serta nilai tambah kepada industri pertanian negara.
Sumber : Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Jabatan Pertanian