25/06/2026
KUNJUNGAN HORMAT KE PEJABAT EXCO HAL EHWAL AGAMA ISLAM, KEMAJUAN DESA DAN HAL EHWAL ORANG ASLI NEGERI PAHANG
Fadzlil Khaliq bin Zakaria, 25 Jun 2026, 5.51 petang
KUANTAN– Satu kunjungan hormat telah diadakan ke Pejabat YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, bertempat di Aras 5, Blok B, Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah, Kota Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Rombongan kunjungan ini telah diketuai oleh YBrs. Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah Kanan Kehakiman, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), mewakili YAA Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, serta diiringi oleh pegawai-pegawai Bahagian Sokongan Keluarga JKSM. Turut hadir ialah delegasi Jabatan Kehakiman Syariah Pahang (JKSP) yang diketuai oleh YAA Dato’ Haji Abdul Walid bin Haji Abu Hassan, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk menyampaikan hasrat JKSM melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), dengan kerjasama JKSP, bagi menganjurkan Program Ops Nafkah: Waris Peduli, Keluarga Sejahtera Tahun 2026 di Negeri Pahang. Program ini merupakan inisiatif advokasi masyarakat yang memberi penekanan kepada pemerkasaan institusi keluarga, tanggungjawab nafkah, peranan waris serta kefahaman terhadap pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah nafkah di Mahkamah Syariah.
Melalui kunjungan ini, pihak JKSM turut mendapatkan pandangan, sokongan dan kerjasama daripada pihak Kerajaan Negeri Pahang, khususnya dalam aspek penyelarasan pelaksanaan program, penglibatan agensi berkaitan, pemilihan lokasi yang bersesuaian serta libat urus bersama komuniti setempat. Program ini juga dihasratkan dapat mempergiat promosi fungsi BSK serta memperkukuh kerjasama strategik antara agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri dan masyarakat.
Semoga jalinan kerjasama antara JKSM, JKSP dan Kerajaan Negeri Pahang terus diperkukuh demi melahirkan masyarakat yang cakna terhadap tanggungjawab nafkah, seterusnya menyumbang kepada pembentukan keluarga yang peduli, sejahtera dan berdaya tahan selaras dengan prinsip keadilan syariah.
Bahagian Sokongan Keluarga
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia