25/05/2026
PEMANTAPAN KEPIMPINAN AWAM DALAM ERA KECERDASAN BUATAN (AI)
KUALA LUMPUR, 24 Mei 2026 – Kementerian Digital melalui MyDIGITAL Corporation dengan kerjasama strategik Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Asia School of Business telah menganjurkan Program Kepimpinan AI untuk Urus Selia Sektor Awam (AI Leadership for Public Sector Stewardship) di Asia School of Business, Kuala Lumpur.
Program yang berlangsung selama dua hari (23–24 Mei 2026) ini menghimpunkan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam termasuk 24 orang Ketua Setiausaha Kementerian dan 16 orang Ketua Perkhidmatan sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan kepimpinan negara dalam mendepani transformasi kecerdasan buatan (AI).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz mewakili Ketua Setiausaha Negara. Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar turut menyampaikan ucapan aluan.
Program ini merangkumi lapan modul strategik utama, termasuk perkongsian landskap AI nasional oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital Encik Ma. Sivanesan a/l Marimuthu@Muthiah, kepimpinan strategik AI, asas model AI, prompt engineering, etika serta tadbir urus AI, serta sesi hands-on bersama pakar industri.
Penekanan turut diberikan kepada anjakan minda kepimpinan sektor awam bagi memperkukuh keupayaan membuat keputusan berasaskan AI serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam kekal relevan, selamat dan berimpak tinggi.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Digital dalam memacu Agenda Pendigitalan Negara secara inklusif, serta memperkukuh kesiapsiagaan kepimpinan sektor awam dalam mendepani cabaran dan memanfaatkan AI bertaraf global bagi memastikan tadbir urus yang lebih efisien, berdaya tahan dan berintegriti.
Gobind Singh Deo YB Datuk Wilson Ugak Kumbong Jabatan Perkhidmatan Awam