22/05/2026
Pengiktirafan Malaysia Books of Records (MBOR) Bukti Komitmen Industri Terhadap Pensijilan Halal Malaysia
KUALA LUMPUR, 21 Mei 2026 - Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, YBrs Encik Muhyidin Aziz @ Saari hadir mewakili YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM bagi menyaksikan detik bersejarah pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records kepada The Manhattan Fish Market dan US Pizza sempena Franchise International Malaysia 2026 (FIM2026) pada 21 Mei 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh YBrs. Encik Christopher Wong, Ketua Pegawai Eksekutif MBOR kepada The Manhattan Fish Market atas pencapaian sebagai rangkaian restoran makanan laut halal paling lama beroperasi di Malaysia, manakala US Pizza p**a mencipta kejayaan tersendiri apabila diiktiraf sebagai rangkaian pizza tempatan dengan sijil halal terbanyak di negara ini.
Majlis turut disaksikan oleh Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg. Datuk Dr Radzali Hassan, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan YBhg. Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli, Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).
Pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian industri, malah menjadi simbol komitmen tinggi syarikat dalam memartabatkan Pensijilan Halal Malaysia sebagai penanda aras kualiti, integriti dan kepercayaan pengguna di peringkat nasional serta global.
JAKIM melalui Bahagian Pengurusan Halal akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam memperluas agenda halal negara serta memperkasa pembangunan ekosistem halal yang menyeluruh dan berdaya saing. Usaha ini sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal dunia yang diyakini, dihormati dan menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.