17/08/2026
Pada saya, mendekati anak muda memerlukan kita memahami cara mereka melihat dan membina masa depan. Atas dasar itu, pengenalan maskot Oyen MYFutureJobs di Karnival MYFutureJobs Lindung Kerjaya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) merupakan pendekatan strategik untuk menjadikan MYFutureJobs lebih ‘berjiwa muda’ dan senang didekati, khususnya oleh pelajar IPT serta golongan belia. Malah, edisi penganjuran karnival kerjaya kali ini menyaksikan 10 duta diangkat sebagai ‘wajah’ MYFutureJobs yang terdiri dalam kalangan mahasiswa dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Di sebalik maskot Oyen dan duta ini, matlamatnya tetap besar iaitu menggalakkan anak muda meneroka peluang pekerjaan, membina profil kerjaya dengan lebih teratur serta mendapatkan bimbingan yang sesuai dengan kemahiran dan aspirasi mereka. Pelbagai inisiatif turut dibawakan melalui karnival ini termasuk padanan pekerjaan, temu duga terbuka, semakan resume, khidmat nasihat kerjaya, MYFutureJobs Rover, CEO Talk dan Bicara Aspirasi Belia.
Selain itu, pelbagai isu penting diutarakan sepanjang sesi dialog belia yang menampilkan YB Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, diiringi moderator yang tidak asing lagi dalam kalangan anak muda, Amelia Henderson. Antara yang mencuri tumpuan ialah kupasan mengenai percaturan laluan kerjaya, aneka perlindungan sosial dan inisiatif KESUMA, selain pengalaman peribadi YB Menteri KESUMA dalam meniti laluan kerjaya.
Ruang seperti ini penting kerana anak muda dapat mendengar sendiri pandangan mengenai pilihan kerjaya, pengalaman membina laluan kerjaya serta peluang dan inisiatif yang disediakan oleh KESUMA dan agensi-agensinya. Pada akhirnya, kita mahu anak muda bukan sahaja mencari pekerjaan, tetapi lebih bersedia untuk membina kerjaya.
Setinggi terima kasih saya ucapkan kepada YB Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Antarabangsa) KESUMA, Dr Mohd Shaharin Umar; Naib Canselor UTeM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Masilla Kamalruddin; Pengerusi Lembaga PERKESO, YBhg. Dato’ Sri Subahan Kamal serta semua wakil kementerian, agensi dan rakan kerjasama yang bersama-sama menjayakan usaha ini. Tahniah juga kepada seluruh pasukan MYFutureJobs atas pendekatan kreatif dalam mendekati generasi muda.