04/08/2026
LAWATAN PEMANTAUAN KE JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SABAH: MEMPERKUKUH PELAKSANAAN, MEMPERCEPAT PENYELESAIAN
Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan Lawatan Pemantauan Prestasi Pelaksanaan dan Pengoptimuman Peruntukan Penyelenggaraan Institusi Pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah yang diketuai oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Aset.
Lawatan ini memberi tumpuan kepada pemantauan prestasi pelaksanaan projek, penggunaan peruntukan penyelenggaraan serta penyelesaian isu-isu yang dihadapi di peringkat JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Pendekatan turun padang membolehkan isu dibincangkan secara terus bersama pegawai pelaksana, sekali gus mempercepatkan keputusan dan tindakan susulan demi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Sepanjang sesi perbincangan, pelbagai isu berkaitan pelaksanaan projek, prestasi perbelanjaan, keperluan peruntukan tambahan, proses perolehan dan pemantauan projek telah berjaya dikenal pasti serta dipersetujui langkah penyelesaiannya. Perbincangan yang konstruktif ini membolehkan tindakan susulan dirancang dengan lebih jelas bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek di lapangan.
Dalam ucapannya, Setiausaha Bahagian menegaskan bahawa setiap projek yang telah siap perlu diwar-warkan supaya manfaat yang telah disampaikan kepada sekolah dan masyarakat dapat diketahui umum. Beliau turut mengingatkan supaya sebarang isu atau kekangan pelaksanaan dilaporkan dengan segera bagi membolehkan tindakan penyelesaian diambil tanpa kelewatan. Di samping itu, semua pihak diminta memberi fokus kepada pelaksanaan projek dan pengoptimuman perbelanjaan peruntukan yang telah disalurkan serta memastikan dashboard pemantauan sentiasa dikemas kini sebagai asas kepada pemantauan dan pembuatan keputusan pengurusan.
Lawatan ini turut mencerminkan komitmen berterusan BPA dalam memperkukuh tadbir urus pelaksanaan projek, meningkatkan kecekapan penggunaan peruntukan Kerajaan serta memastikan setiap inisiatif memberi manfaat optimum kepada sekolah, guru dan murid.
BPA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga JPN Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta semua pihak yang terlibat atas komitmen, kerjasama dan layanan yang amat baik sepanjang lawatan ini. Semoga sinergi erat antara KPM, JPN dan PPD akan terus diperkukuh dalam memastikan penyampaian perkhidmatan pendidikan yang lebih cekap, berkesan dan berimpak tinggi.