02/12/2025
KOTA KINABALU: “BN boleh tentukan kerajaan hari ini bersama siapa saja sebagai 'king maker',” demikian dakwaan calon BN di DUN Silam yang tewas dalam PRN Sabah, Sharif Musa Sharif Mabul.
Sharif Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, mendesak orang ramai berhenti 'mengata' BN kerana parti itu sebenarnya adalah 'king maker' dalam kemelut tersebut.
“Jangan menghembat BN sehingga rotan hancur. Kami tiada rotan, tapi kami ada akar yang sama sakit apabila digunakan untuk menghembat pihak sebelah,” katanya.
Sharif Musa berkata, kedudukan enam kerusi BN memberi pilihan kepada parti itu untuk menyokong mana-mana gabungan, termasuk GRS atau Warisan, sekiranya berlaku rundingan alternatif.
"Semua blok perlukan BN untuk bentuk kerajaan. BN mempunyai enam kerusi dalam Kerajaan GRS diterajui Hajiji Haji Noor untuk kestabilan. Boleh juga enam kerusi BN membentuk Kerajaan bersama Warisan sebagai alternatif," katanya.
Beliau turut mendakwa Hajiji tidak akan mengambil keputusan menerima BN jika kerusi mencukupi untuk membentuk Kerajaan.
"Kami bukan pengemis, kami adalah 'king maker' yang amat simpati dengan pembentukan kerajaan hari ini," katanya.