04/09/2026
LAWATAN DELEGASI PPAP KE PPANS SEMPENA PROGRAM KEMBARA ILMU PAHANG KE NEGERI BERADAT
2-3 September - Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) telah menerima lawatan delegasi rasmi daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) sempena Program Kembara Ilmu Pahang ke Negeri Beradat: “Menyemai Ilmu, Mengukuh Jaringan” yang dianjurkan oleh PPAP selama dua hari.
Program ini diadakan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan Ke-69 serta bertujuan untuk memperkukuh hubungan dan jaringan kerjasama antara institusi perpustakaan di samping menyemai semangat cintakan ilmu, negara dan warisan budaya dalam kalangan warga perpustakaan.
Pada hari pertama, delegasi PPAP yang terdiri daripada seramai 40 orang peserta telah tiba di PPANS dan disambut dengan penuh meriah melalui kibaran bendera Jalur Gemilang. Acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, diikuti lagu Tanggal 31 Ogos dan lagu Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan oleh YBrs. Puan Maria binti Hamzah, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) dan diikuti ucapan oleh YBhg. Puan Berdiana binti Hj. Berahim, Penolong Pengarah PPANS yang mewakili Tuan Pengarah PPANS.
Turut berlangsung ialah Sesi Tandatangan Kunjungan Hormat dan Kembara Ilmu 2026: Pahang ke Negeri Beradat “Menyemai Ilmu, Mengukuh Jaringan” Dengan Kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan antara PPAP dan PPANS sebagai simbolik jalinan kerjasama serta hubungan erat antara kedua-dua institusi.
Program pada hari pertama turut diisi dengan Sesi Perkongsian Ilmu “Budaya dan Kesenian Negeri Beradat” yang telah disampaikan oleh Encik Zaki Razani, Ketua Penolong Kurator, Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS). Sesi tersebut memberi pendedahan dan perkongsian kepada delegasi PPAP berkaitan keunikan budaya, kesenian serta Adat Perpatih yang menjadi identiti dan warisan masyarakat Negeri Sembilan.
Pada hari kedua, lawatan delegasi PPAP diteruskan dengan sesi kunjungan ke Muzium Negeri Sembilan yang merupakan salah sebuah institusi penting dalam usaha memelihara, mendokumentasi dan memperkenalkan khazanah sejarah serta warisan negeri kepada masyarakat. Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Encik Mohd Nazim bin Abdul Gaman, Penolong Kurator, Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS).
Lawatan kemudiannya diteruskan ke Perpustakaan Awam Cawangan Kuala Pilah dan perkongsian Silang Budaya disampaikan oleh Encik Zainudin bin Zailan, Penolong Pustakawan PPANS. Turut hadir YBrs. Encik Mohd Rizwan bin Md. Yusof, Penolong Pengarah PPANS.
Turut berlangsung ialah Sesi Tandatangan Kunjungan Hormat dan Kembara Ilmu 2026: Pahang ke Negeri Beradat “Menyemai Ilmu, Mengukuh Jaringan” Dengan Kerjasama Perpustakaan Awam Cawangan Kuala Pilah. Selain itu, delegasi turut berpeluang menyertai aktiviti permainan tradisional Negeri Sembilan iaitu dam harimau dan tating lawi yang dapat memberikan pengalaman terhadap warisan serta budaya masyarakat Negeri Sembilan. Para peserta turut berpeluang menikmati pelbagai sajian tradisional Negeri Sembilan sekali gus melengkapkan pengalaman mengenali budaya tempatan bukan sahaja melalui ilmu, tetapi juga melalui permainan, bahasa dan makanan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada delegasi Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) atas kesudian menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi Program Kembara Ilmu 2026. Penghargaan turut dirakamkan kepada Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan sesi perkongsian ilmu serta lawatan berkaitan sejarah dan warisan Negeri Sembilan.
===========================================
Laman web : www.nslibrary.gov.my
Tiktok : www.tiktok.com/
Youtube : www.youtube.com/
Kunjungi kami di :
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan
Kompleks PKNNS, Jalan Persiaran S2 B2,
Seremban 2, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
No.Telefon : 06-7635989
No. Fax : 06-7635944