08/05/2025
KENYATAAN MEDIA
PKR CABANG RAUB: SOKONGAN PENUH KEPADA YB NURUL IZZAH ANWAR SEBAGAI CALON TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN BAGI SESI 2025–2028
Parti Keadilan Rakyat Cabang Raub dengan ini menyatakan sokongan penuh dan terbuka kepada YB Nurul Izzah Anwar sebagai calon Timbalan Presiden KEADILAN bagi pemilihan sesi 2025–2028.
YB Nurul Izzah bukan sahaja simbol kepada perjuangan reformasi sejak awal kebangkitan rakyat pada 1998, malah merupakan tokoh yang telah menunjukkan kepimpinan berteraskan prinsip, nilai-nilai murni dan wawasan masa depan yang jelas. Pengalaman beliau sebagai Ahli Parlimen selama dua penggal, bekas Naib Presiden parti, serta peranan aktifnya dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan pembaharuan institusi, menjadikan beliau tokoh yang diyakini mampu memperkukuh parti dalam menghadapi cabaran semasa dan mendatang.
Cabang Raub percaya bahawa KEADILAN perlu digerakkan oleh barisan kepimpinan yang segar, progresif dan berwibawa, demi menjamin kelangsungan idealisme reformasi serta daya saing parti di pentas politik nasional. Dalam landskap politik yang semakin kompleks dan mencabar, YB Nurul Izzah memiliki keupayaan untuk menjadi jambatan antara generasi pengasas dan generasi pewaris perjuangan.
Dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap amanah rakyat dan masa depan negara, kami berdiri teguh menyokong pencalonan beliau sebagai Timbalan Presiden KEADILAN. Semoga langkah ini membawa harapan baharu, menyemarakkan semangat perjuangan, dan memperkukuhkan KEADILAN sebagai parti masa depan untuk Malaysia yang lebih adil, progresif dan inklusif.
Reformasi!
Generasi Reformasi, Membangun MADANI!
Tulus Ikhlas,
TUAN SIVANANDAR GENAPATHY
Ketua Cabang
Parti Keadilan Rakyat Raub
TUAN ELIAA BIN AZIZ @ ELIASS
Timbalan Ketua Cabang
Parti Keadilan Rakyat Raub
Bersama sokongan padu daripada:
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Raub,
Wanita KEADILAN Raub,
serta seluruh ahli dan jentera Parti Keadilan Rakyat Cabang Raub.