01/04/2026
KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI BESAR PAHANG
PAHANG CATAT KEPUTUSAN MEMBANGGAKAN SPM 2025, KEDUA TERBAIK PERINGKAT NASIONAL
Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas pencapaian cemerlang dan membanggakan Negeri Pahang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan pada hari ini.
Secara keseluruhan, seramai 21,043 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2025 di negeri ini dengan 96.52 peratus calon berjaya memperoleh Layak Sijil, manakala seramai 671 calon p**a berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran.
Lebih membanggakan, Negeri Pahang turut mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, sekali gus meletakkan Pahang di kedudukan negeri kedua terbaik di peringkat nasional.
Saya juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah atas pencapaian luar biasa yang ditunjukkan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang yang berjaya mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60, selain Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang terus mengekalkan kecemerlangannya dengan GPS 1.06.
Tahniah juga diucapkan kepada 12 buah sekolah yang mencatat sekurang-kurangnya GPS 2.30 dan daripada 12 sekolah tersebut tiga daripadanya mencatatkan GPS 2.00 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tualang, Temerloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan.
Sekolah-sekolah lain yang turut cemerlang antaranya Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah, Kuantan; Sekolah Menengah Agama Al Maarif, Kuantan; Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajjah Afzan, Jerantut dan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub.
Dalam pada itu, syabas juga diucapkan kepada daerah Pekan dan Kuantan yang masing-masing mencatatkan Gred Purata Daerah (GPD) 3.89 dan daerah Lipis yang mencatat GPD 3.93.
Kejayaan ini merupakan manifestasi kepada usaha berterusan, iltizam yang tinggi dan komitmen padu semua pihak dalam memastikan anak-anak Pahang mendapat pendidikan terbaik.
Sehubungan itu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh calon SPM 2025, para guru, ibu bapa, pentadbir sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang, Yayasan Pahang, serta semua pihak yang telah memainkan peranan besar dalam melakar kejayaan ini.
Sesungguhnya, pencapaian ini tidak hadir secara kebetulan. Ia adalah hasil daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkasa sektor pendidikan, termasuk melalui pelbagai bentuk inisiatif, sokongan dan intervensi pendidikan seperti pemberian buku rujukan, buku latihan serta kit persekolahan, bagi memastikan anak-anak Pahang terus mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berdaya saing.
Kerajaan Negeri juga akan terus meletakkan pendidikan sebagai antara agenda utama pembangunan negeri, selaras dengan hasrat dan hala tuju Aspirasi Pahang 1st, kerana saya yakin bahawa pendidikan merupakan asas terpenting dalam membina masa depan negeri yang lebih gemilang.
Kepada anak-anak Pahang yang berjaya, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah. Gunakanlah kejayaan ini sebagai titik tolak untuk melangkah lebih jauh dan terus menggapai cita-cita.
Kepada yang belum mencapai keputusan seperti yang diharapkan, jangan sesekali berputus asa. Perjalanan kejayaan setiap insan tidak pernah sama dan masa depan masih luas untuk diterokai. Yang penting terus berusaha, bangkit dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.
Tahniah anak-anak Pahang. Ini adalah kejayaan kita bersama.
YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR PAHANG
DATOโ SRI DIRAJA HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
31 Mac 2026
Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan.