16/08/2026
OPERASI KHIDMAT KHAS HAZMAT (BANTUAN PDRM) – MAKMAL DADAH
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia Berprestasi Tinggi, Cepat dan Mesra.
Pada 16 Ogos 2026, Balai Bomba dan Penyelamat Rawang telah menerima panggilan berkaitan Khidmat Khas Hazmat (Bantuan PDRM) melibatkan laporan penemuan sebuah makmal disyaki berkaitan aktiviti pemprosesan dadah di kawasan Eco Business Park V, Jalan Eko Perindustrian 5/5B.
Pasukan Hazmat BBP Rawang bersama bantuan BBP Jalan Tun Razak telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan, pengesanan bahan berbahaya serta pensampelan bahan yang ditemui.
Setibanya di lokasi, Komander Hazmat telah menjalankan penilaian awal (size up) dan mengesahkan terdapat lokasi yang disyaki sebagai makmal dadah. Pasukan bertindak telah menjalankan pengesanan menggunakan peralatan 4 Gas Meter, 6 Gas Meter, pH Paper serta TruDefender FTX bagi mengenal pasti tahap risiko dan jenis bahan yang terlibat.
Hasil pemeriksaan mendapati bacaan gas di kawasan terlibat adalah normal dan tiada bacaan instrumen berbahaya direkodkan. Beberapa sampel bahan telah diuji dan dikenal pasti, antaranya bahan bersifat neutral, asid, alkali serta beberapa komponen kimia berkaitan.
Berdasarkan rujukan Emergency Response Guidebook (ERG), didapati tiada kemudaratan kritikal dikenal pasti sekiranya berlaku tindak balas dengan air, udara atau api. Hasil dapatan kemudiannya telah dimaklumkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.
Pegawai expert Hazmat Selangor PgB Qalam Bin Abdul Halim turut hadir kelokasi bagi merancang strategi operasi dan memastikan operasi berjalan dengan lancar.
Operasi telah berjaya dikawal dan ditamatkan pada jam 1417, dengan semua anggota serta jentera kembali ke balai dalam keadaan selamat.
Ringkasan Operasi:
📍 Lokasi: Eco Business Park V, Jalan Eko Perindustrian 5/5B
🚒 Balai Terlibat: BBP Rawang & BBP Jalan Tun Razak
⏱️ Tempoh Operasi: 1017 – 1417
👨🚒 Mangsa: Tiada
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan penyelamatan, pengurusan bahan berbahaya serta memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.
“JBPM – Berprestasi Tinggi, Cepat dan Mesra”