08/03/2026
*PERTANDINGAN TILAWAH AL-QURAN ANAK-ANAK WARGA IPD SANDAKAN TAHUN 2026*
Sandakan, 7 Mac 2026M bersamaan 17 Ramadan 1447H – Telah berlangsung Majlis Pertandingan Tilawah Al-Quran Anak-Anak Warga IPD Sandakan Tahun 2026 bertempat di Surau Al-Azhar, Pangsapuri PDRM Batu 4, Sandakan bersempena peristiwa Nuzul Quran dan pengisian Program Ihya’ Ramadan.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YDH ACP George B. Abd Rakman, Ketua Polis Daerah Sandakan yang turut dihadiri oleh YBhg. Puan Arnianah binti Datuk Hj. Andi Yakin, Pengerusi PERKEP IPD Sandakan, Ketua-Ketua Bahagian, Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis, Pegawai Awam Polis serta AJK dan ahli PERKEP IPD Sandakan.
Seramai 22 orang peserta yang telah mengikuti majlis tersebut iaitu terdiri daripada anak-anak warga IPD Sandakan dalam lingkungan umur 7 hingga 16 tahun, melibatkan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di daerah Sandakan.
Penganjuran pertandingan ini bertujuan memupuk minat dan kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan anak-anak warga IPD Sandakan, di samping mencungkil bakat serta meningkatkan keyakinan diri para peserta melalui pertandingan tilawah.
Selain itu, program ini juga merupakan salah satu usaha mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti kerohanian dan tarbiah, serta mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan warga IPD Sandakan bersama ahli PERKEP Sandakan.
Majlis berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga IPD Sandakan serta ibu bapa yang hadir memberikan sokongan kepada para peserta.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi muda yang cintakan Al-Quran serta berakhlak mulia.