16/07/2026
DUA KELDAI AKAUN BERJAYA DIBERKAS BAHAGIAN SIASATAN JENAYAH KOMERSIL IPD SARIKEI
SARIKEI – Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Sarikei telah berjaya menangkap dua (2) lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan dalam talian pada 15 dan 16 Julai 2026.
Suspek yang ditangkap pada 15 Julai 2026 dipercayai berperanan sebagai "keldai akaun" dalam satu kes penipuan yang menggunakan modus operandi urusan jual beli batu jed dalam talian melalui aplikasi Facebook. Penipuan tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM6,393.00. Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa di IPD Sarikei, Sarawak.
Manakala suspek yang ditangkap pada 16 Julai 2026 turut dipercayai berperanan sebagai "keldai akaun" dalam satu kes penipuan pelaburan TJG Gold Machine melalui aplikasi Telegram. Kes tersebut telah mengakibatkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM79,450.00 dan laporan polis telah dibuat di IPD Sarikei, Sarawak.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat perbankan, kad ATM, kad debit, nombor TAC, kata laluan perbankan atau membenarkan akaun bank digunakan oleh pihak lain. Tindakan sedemikian boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan akaun bagi tujuan kegiatan jenayah penipuan.
Mana-mana individu yang didapati terlibat atau berperanan sebagai keldai akaun boleh didakwa di bawah Seksyen 424C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh (10) tahun, atau denda sehingga RM150,000.00, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.