22/07/2026
๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐
๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐, ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐ โ ๐๐๐
๐๐๐๐๐๐๐๐: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengurusan tertinggi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) supaya sentiasa memastikan nasib dan kebajikan kakitangan berstatus kontrak terus terbela.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meminta pihak pengurusan KEMAS meneruskan usaha bagi memastikan warga pendidik berkenaan mendapat keistimewaan yang sewajarnya, termasuk diserap ke jawatan tetap.
Bagi menyokong usaha KEMAS itu, Ahmad Zahid menegaskan, beliau sendiri komited dan akan membawa isu tersebut untuk dibincangkan di peringkat tertinggi. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KEMAS Negeri Sembilan di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) Kampung Pantai, di sini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan atas pelbagai inisiatif serta melaksanakan pembaharuan atau 'game changer' bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.
Katanya, di bawah kepimpinan Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Hanafiah Man, KEMAS pantas menterjemahkan perubahan hasil daripada pendekatan mendengar pandangan dan idea dari peringkat akar umbi.
"Hasilnya, antara pencapaian yang membanggakan adalah inisiatif KEMAS memulakan pendidikan al-Quran seawal usia dua tahun. Alhamdulillah, seramai 225,000 kanak-kanak Tabika KEMAS kini sedang mengikuti kelas hafazan ini dan ia merupakan satu pencapaian yang sangat besar," katanya.
Selain itu, beliau berkata, KEMAS turut bertindak cemerlang mendahului peredaran zaman apabila memodenkan sistem pendidikannya menerusi adaptasi pendekatan Kecerdasan Buatan (AI) di bilik darjah. Sehubungan itu, kementerian menyasarkan kesemua kelas TABIKA KEMAS berjumlah 10,538 buah di seluruh negara bakal dilengkapi kemudahan Papan Pintar (Smartboard) menjelang hujung tahun hadapan.
Dalam majlis sama, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, bagi membuktikan komitmen menjaga kebajikan bakal pendidiknya, beliau memaklumkan kenaikan elaun pelatih Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK). Katanya, penambahbaikan itu dicapai susulan kejayaan sesi libat urus bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang membenarkan KEMAS melantik pelatih SPAK yang sedang berkursus ke jawatan MySTEP.
"Jika dahulu pelatih SPAK hanya menerima elaun RM300 sebulan sepanjang tiga bulan berkursus, bermula tahun ini dengan kumpulan 375 pelatih yang menamatkan kursus esok, mereka telah menerima bayaran RM2,100 sebulan sebagai tangga gaji permulaan untuk pendidik masyarakat bagi Tabika dan Taska KEMAS," jelasnya.
Seiring peredaran silibus pendidikan jabatan yang semakin moden, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut bersetuju membenarkan KEMAS memperluas kelayakan akademik pengambilan staf baharu kepada pelbagai disiplin ilmu. Kelonggaran itu membolehkan KEMAS mengambil graduan Diploma Pendidikan Islam untuk program Pra-Tahfiz, bidang Sains dan Teknologi (STEM) bagi inisiatif Smart Classroom, serta kelulusan Pendidikan Khas bagi menampung keperluan murid di Tabika Autisme.