19/08/2026
JALUR GEMILANG DAN BENDERA JOHOR WAJIB DIHORMATI
JOHOR BAHRU | 19 Ogos 2026
Parti Wawasan Negara Negeri Johor memandang serius kejadian pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah premis perindustrian di Kulai.
Jalur Gemilang dan bendera Johor melambangkan kedaulatan dan maruah negara dan negeri serta kehormatan rakyatnya.
Setiap premis, organisasi dan individu bertanggungjawab memastikan kedua-duanya dipasang dengan betul serta dihormati sebagaimana sewajarnya.
Negara sudah 69 tahun Merdeka justeru kita wajar bertanya: sampai bilakah kecuaian seperti ini mahu terus dianggap sekadar “kesilapan” atau “kekeliruan”?
Seorang pemimpin veteran DAP dilaporkan berpandangan bahawa denda antara RM200 hingga RM1,000 sudah memadai dan tindakan menutup sementara premis berkenaan adalah keterlaluan.
Bagi kami, persoalan pokok bukan sekadar jumlah denda atau bentuk hukuman. Persoalannya ialah mengapa kejadian yang menyentuh lambang kedaulatan negara dan maruah negeri masih berulang serta mudah dianggap sebagai kesalahan kecil.
Wawasan Negara Negeri Johor menyokong siasatan pihak berkuasa yang telus, adil dan tegas berasaskan undang-undang.
Pada masa yang sama, penghormatan terhadap bendera negara dan negeri tidak boleh dikompromikan. Janganlah isu seperti ini dijadikan bahan provokasi yang merosakkan keharmonian masyarakat. Sebaliknya, jadikan ia peringatan bahawa setiap pihak yang mengibarkan bendera wajib mengetahui tatacara pemasangannya dan memahami nilai yang dilambangkannya.
Patriotisme bukan sekadar mengibarkan bendera. Patriotisme ialah kesediaan untuk memahami, menghormati dan mempertahankan kedaulatan, maruah serta keharmonian negara.
DATUK ZULKIFLI BUJANG
Penyelaras Majlis Perhubungan Negeri Johor
Parti Wawasan Negara