02/08/2026
Majlis Daerah Semporna mengambil maklum mengenai isu tular berkaitan timbunan sampah di Pusat Transit Jeti Pelancongan Kampung Bangau-Bangau. Untuk makluman, kerja-kerja kutipan sampah di lokasi tersebut sememangnya telah dilaksanakan secara berterusan.
Walau bagaimanapun, operasi kutipan ketika ini berdepan kekangan berikutan kekurangan lori kutipan yang beroperasi akibat kerosakan beberapa jentera serta laluan menuju ke tapak pelupusan yang sedang dalam proses penyelenggaraan. Keadaan ini telah menjejaskan kelancaran operasi kutipan sampah mengikut jadual yang ditetapkan.
Pihak Majlis Daerah Semporna sedang mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengatasi kekangan tersebut dan berusaha memulihkan operasi kutipan sampah seperti biasa secepat mungkin. Pada masa yang sama, orang ramai diseru agar mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi serta terus bersama-sama memelihara kebersihan demi kesejahteraan daerah Semporna.
Segala kesulitan yang timbul amatlah dikesali. Kerjasama dan sokongan semua pihak amatlah dihargai.