30/05/2026
SAMBUTAN AIDILADHA ASNAF FAKIR, MISKIN JELEBU
Sebuah sambutan Aidiladha bersama para asnaf dalam kategori fakir dan miskin dalam daerah Jelebu telah diadakan semalam dengan jayanya di perkarangan PAID, Jelebu.
Program dimulakan seawal pukul 8.00 pagi dengan pelaksanaan ibadah korban sebanyak 5 ekor lembu yang telah disumbangkan oleh One Dream Legacy Cawangan Sendayan. Proses penyembelihan dan melapah dijalankan dengan penglibatan sukarelawan serta komuniti setempat bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar.
Seramai 100 orang asnaf fakir dan miskin daripada 12 kariah telah menerima manfaat menerusi program ini, manakala jumlah keseluruhan kehadiran direkodkan seramai kira-kira 250 orang. Turut bersama menjayakan program ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Irama, Taman Mahogani dan Taman Cempedak.
Melalui program ini, setiap keluarga asnaf menerima agihan daging korban, sumbangan tunai serta Bantuan Raya Aidiladha yang disalurkan terus ke akaun bank penerima.
Penyerahan daging korban telah disempurnakan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Jelebu, Ust. Abd Manas Md Isa bersama Pengarah Urusan One Dream Legacy, En. Mohd Izwan Idris dengan diiringi oleh Pegawai MAINS Daerah Jelebu, Ust. Hazmi Abdul Kadir.
Usai majlis penyerahan, misi kebajikan diteruskan dengan kunjungan ke 5 buah rumah asnaf yang uzur serta orang kurang upaya (OKU) bagi menyampaikan daging korban kepada mereka yang tidak dapat hadir ke program berkenaan.
Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan membantu golongan yang memerlukan, malah menjadi medium untuk menghayati nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. dalam melaksanakan perintah Allah SWT.
Semoga ibadah korban yang dilaksanakan menjadi asbab keberkatan kepada para penyumbang serta terus memperkukuhkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat dan golongan asnaf.
Foto: MAINS (Daerah Jelebu)
________________________
'ZAKAT TAK PERNAH MENGURANGI, WAKAF TAK PERNAH MERUGI'
π KIRA, TUNAI, SEMAK ZAKAT ANDA:
https://www.mains.gov.my/online/utama.php
π POTONGAN ZAKAT BULANAN:
www.mains.gov.my/borang/
π ZAKAT SECARA DIRECT DEBIT:
https://infaqpay.my/go/mains-zakat
π WAKAF TUNAI:
https://www.mains.gov.my/online/wakaf/
π POTONGAN WAKAF BULANAN:
https://www.mains.gov.my/wakaf/borang_pg
π WAKAF SECARA DIRECT DEBIT:
https://infaqpay.my/go/mains-wakaf