02/04/2026
MAJLIS PEMBUKAAN EKSESAIS PASAK BUMI (EPB) 24 RAMD SIRI 1/2026
SEREMBAN, 2 APRIL 2026 — Majlis Pembukaan Eksesais Pasak Bumi (EPB) Siri 1/2026 telah berlangsung di Hangar 24 RAMD, Kem Rasah. Upacara perasmian disempurnakan oleh Mejar Ts. Mohd Yunus bin Hassan, Penolong Pegawai Memerintah 24 RAMD.
Seramai 10 Pegawai dan 276 anggota LLP dari pasukan 24 RAMD serta pasukan-pasukan di bawah naungan 1 Briged iaitu Kem dan Sasaran Penting 1 Briged, MK Garison Gemas, MSS Port Dickson, 1 Woksyop dan Rejimen 514 AW telah terlibat dalam perbarisan pembukaan eksesais ini. Perbarisan ini diketuai oleh Mejar Mohammad Zikri bin Zulkifli. Majlis dimulakan dengan acara pemakaian Toha kepada Ketua Pelaku dan Pengendali Eksesais sebagai pengisian kepada acara pembukaan.
Dalam ucapan Penolong Pegawai Memerintah, beliau menegaskan komitmen yang jitu daripada semua anggota untuk melaksanakan latihan dengan cemerlang sambil mengekalkan etika sebagai seorang anggota tentera yang terlatih. Beliau turut menyeru agar memanfaatkan sepenuhnya ruang dan masa latihan ini untuk mempertingkatkan ilmu dan kemahiran ketenteraan di semua peringkat kepimpinan serta mencapai objektif latihan yang telah ditetapkan oleh pemerintah Tentera Darat.
Beliau turut menekankan kepentingan aspek perintah dan kawalan (command and control) serta keselamatan sepanjang pelaksanaan eksesais, terutama bagi kepimpinan di peringkat kompeni, platun dan seksyen.
Seluruh warga Berbakti Berkorban mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta Eksesais Pasak Bumi 24 RAMD Siri 1/2026. Semoga latihan ini dapat dilaksanakan dengan selamat, berdisiplin dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.