23/02/2023
PUTRAJAYA, 23 Februari- Aspek perundangan melibatkan pemilikan tanah, pendaftaran perkahwinan dan kelahiran anak orang asli antara yang menjadi tumpuan dalam pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pindaan itu perlu ekoran terdapat beberapa kekangan daripada segi pemilikan tanah dalam kalangan masyarakat itu yang mesti diberikan hak perundangan terhadap kawasan rayau dan hak milik kekal bagi perumahan.
“Terdapat juga kekangan daripada Kanun Tanah Negara dan perundangan yang ‘tersangkut’ dalam soal hal ehwal tanah melibatkan kerajaan negeri.
"Peluang pendidikan juga perlu diberikan kepada masyarakat itu ke tahap tertinggi dengan sasaran 300 anak orang asli wajib memasuki universiti.
"Perkongsian pintar juga akan dilakukan dengan pihak syarikat tersenarai atau syarikat swasta bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat dalam perkampungan orang asli.
"Elemen pendaftaran perkahwinan juga termaktub dalam pindaan itu, memandangkan kebanyakan orang asli berdepan masalah dokumentasi perkahwinan kerana berkahwin secara adat, seterusnya menyebabkan anak-anak mereka tidak mempunyai sijil kewarganegaraan yang sah," katanya kepada pemberita di sini.
Sumber: