13/05/2026
MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA SSM DAN PKNNS
12 MEI 2026 | DEWAN KARISMA 1, ARENA PREMIER HOTEL, SEREMBAN
Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) hari ini telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan, meningkatkan tadbir urus korporat serta merancakkan pembangunan ekonomi negeri secara mampan.
Majlis menandatangani MoU ini telah berlangsung di Arena Premier Hotel, Seremban dan disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PKNNS, Datoโ Rusmimah Mat Derus bersama Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, serta disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan daripada kedua-dua agensi. Kerjasama ini memberi fokus kepada usaha meningkatkan tahap pematuhan perundangan dalam kalangan usahawan, kontraktor, pembekal serta penyewa premis di bawah seliaan PKNNS termasuk entiti dan anak syarikat milik PKNNS. Inisiatif ini turut merangkumi perkongsian maklumat korporat, pengukuhan struktur perniagaan serta pemerkasaan tadbir urus dalam kalangan rakan niaga yang terlibat dalam rantaian bekalan dan pengurusan hartanah negeri.
Melalui MoU ini, PKNNS akan turut merujuk kepada SSM sebagai rakan strategik dalam mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pematuhan perundangan, pendaftaran perniagaan serta amalan tadbir urus korporat yang baik. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dan operasi perniagaan dilaksanakan secara lebih tersusun, telus dan berintegriti.
Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelaksanaan pelbagai program termasuk sesi taklimat, latihan dan hebahan berterusan berkaitan kepentingan pematuhan perundangan serta amalan perniagaan terbaik. Usaha ini bertujuan membantu usahawan tempatan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), untuk beroperasi secara lebih tersusun, berdaya saing dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
PKNNS dan SSM sememangnya telah lama menjalinkan kerjasama strategik dalam pembangunan usahawan di Negeri Sembilan. Antara yang paling signifikan adalah penglibatan SSM sebagai panel jawatankuasa dalam inisiatif Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019. Sehingga kini, lebih 7,000 usahawan telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini, sekali gus membuktikan keberkesanan kerjasama kedua-dua pihak dalam memperkasa komuniti perniagaan negeri.
Pemeteraian MoU ini dilihat sebagai kesinambungan kepada kerjasama sedia ada yang lebih tersusun dan berimpak tinggi, sejajar dengan visi PKNNS iaitu โPenggerak Ekonomi, Pemacu Pembangunanโ.