02/05/2018
Politik & Kehidupan
Politik ialah sesuatu yang tak dapat dihindarkan dari setiap individu. Dari awal hidup seseorang bermula dengan pendaftaran sijil lahirnya untuk memiliki taraf mastautin disesebuah tempat hinggalah sijil kematian bagi membolehkan seseorang yang telah meninggal dapat diuruskan. Semuanya ditentukan oleh dasar politik.
Kos sara hidup samada harga minyak, makanan, pakaian, lampin,susu dan penjagaan anak, yuran pengajian, kos perubatan, taraf kehidupan sosial, peluang pekerjaan dan segala macam lagi semuanya berkait rapat dengan politik.
Politik itu p**a dipegang oleh ahli yang datang dari pelbagai latarbelakang kefahaman. Maksud saya ialah bagaimana institusi asal yang mengajar dan membentuk kefahaman beliau dalam berpolitik.
Biasa kita dengar ungkapan “politik itu kotor”. “Pelajar jangan berpolitik”. “Agama dan politik tidak boleh dicampur aduk”. Dalam keadaan berbeza p**a kita dengar “agama dan politik tidak boleh dipisahkan”. Begitu juga ungkapan “menggunakan agama demi kepentingan politik” dan lain-lain.
Satu perkara yang menjadi persamaan semua ini dalam berpolitik ialah memilih kepimpinan dan mengurus hal ehwal tadbir rakyat. Cara untuk capai matlamat ini yang mungkin berbeza.
Kefahaman yang berbeza ini akan membentuk cara ahli politik yang terpilih mengurus tadbir rakyat bawahannya. Maka jadilah urus tadbir tersebut kotor atau bersih, menindas atau membela memberi kesempitan hidup atau kesejahteraan.
Merekalah yang akan terlibat secara langsung dalam menentukan dasar-dasar urus tadbir rakyat dan negara. Justeru berwaspadalah dalam membuat pemilihan.
Dalam membuat pilihan ini kita juga dengar saranan supaya pilih yang paling ringan antara dua mudharat ( أخف الضررين ). Adakah hanya dua pihak sahaja yang boleh dipilih? Jika kedua-duanya memberi mudharat tidak adakah pihak lain yang boleh memberi maslahah dan manfaat?
Kaedah fiqh ( أخف الضررين ) ini digunakan pada ketika berlakunya fitnah. Manakala fitnah yang dimaksudkan di sini ialah suasana kacau bilau, huru hara dan sebagainya yang memberi mudharat kepada kehidupan. Lantaran itu seseorang individu perlu membuat pilihan kepada perkara yang paling kurang impak keburukan yang akan berlaku ke atas dirinya.
Sedangkan dalam syariat Islam p**a, syariat itu sendiri adalah merupakan maslahah dan manfaat kepada manusia. Dalam kata lain ia adalah lawan keadaan dharurat. Maslahah ini ialah segala perkara yang membabitkan hal kehidupan paling asas atau dharuri, keperluan atau hajat, mencantik atau memperelokkan keadaan dan seterusnya memelihara agama, jiwa, harta dan aqal.
Seorang muslim sejak awal lagi faham mengenai tanggungjawab hukum taklif. Sebagai mukallaf yang telah cukup umur, sempurna aqal fikiran, bebas membuat pilihan dan tidak dipaksa, maka setiap saat kehidupan akan tertakluk dan berada dalam hukum samada wajib, sunat, harus, makruh dan haram.
Dalam masjid kita mengabdikan diri pada Allah begitulah juga diluar masjid pada ketika bekerja, bermain, bersantai dan lain-lain urusan kehidupan duniawi. Hukum yang lima ini tetap kita berada didalamnya. Ganjaran dosa dan pahala tetap menjadi perhitungan akhir.
Islam ini bermula dengan lafaz wahyu iqra’ atau bacalah. Jelas sangat kunci untuk memahami agama ini ialah membaca dengan nama tuhan yang menjadikan kita. Dalam berpolitik juga kita perlu membacanya dengan nama Tuhan Yang Menjadikan segala sesuatu.
Malangnya ada kalangan kita yang “mudah lupa” dan terkhilaf dalam memilih wadah untuk beristiqamah.
Kita terperangkap antara perkara benar yang ingin dibawa dengan persepsi sasar yang melalaikan.
Wahai abang-abang, kakak-kakak, adik-adik dan anak-anak yang aku pernah bersua atas nama Allah. Pemimpin datang dan pergi. Kekhilafan bukan noktah untuk tidak lagi bersama. Ayuh teguh dan rapatkan semula saf-saf yang ada.