02/10/2023
BANGI, 26 September 2023 – Tunas UKM, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan program “Kita Anak Selangor” dengan jayanya melalui penglibatan 146 orang murid pelbagai kaum dari tadika dan tabika sekitar Sepang dan Hulu Langat.
Program ini dianjurkan hasil sokongan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Perpaduan, Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS) yang menyalurkan dana bagi Geran Perpaduan “Kita Selangor”. Program yang dinamakan “Kita Anak Selangor” diketuai oleh Dr. Kamariah Abu Bakar, Penyelaras & Ketua Operasi, Tunas UKM yang mendukung tema ‘Perpaduan dalam Pendidikan’.
Hampir 230 orang murid daripada 9 buah tadika dan tabika KEMAS , Tabika Perpaduan, Apple King Kindergarten dan Makmal Pembelajaran Autisme UKM terlibat dengan program ini yang dijalankan sejak Mei hingga September 2023.
Penghasilan kit pembelajaran “Kita Anak Selangor” merupakan inisiatif untuk menyuntik nilai-nilai positif dan semangat perpaduan sejak di peringkat awal kanak-kanak. Aspek pengenalan kepada pelbagai budaya melalui pakaian, makanan dan permainan yang terdapat di dalam kit ini berupaya memperkenalkan murid dengan kepelbagaian adat, tradisi dan budaya masyarakat Selangor. Pelbagai acara dan pengisian menarik menjadi tarikan kanak-kanak dalam program ini termasuklah pertandingan pakaian beragam tradisional kaum-kaum di Selangor, pertandingan “Wajah Anak Selangor”, permainan rakyat dan aktiviti seni dan kraf tangan.
Upacara perasmian dan pelancaran kit “Kita Anak Selangor” telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Dr. Mahzan Awang, Dekan Fakulti Pendidikan, UKM. YBrs. Prof. Dr. Mahzan Awang dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga dengan penganjuran program seperti ini di fakulti yang mendasari rasa kebersamaan dan perpaduan yang dipupuk sejak kecil lagi.
Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan program “Kita Anak Selangor”.