12/08/2026
LAWATAN DELEGASI WHO RANTAU PASIFIK BARAT KE SK SIJANGKANG JAYA BAGI SESI FOTOGRAFI PROGRAM KESIHATAN PERGIGIAN SEKOLAH
SIJANGKANG, 10 Ogos 2026 โ Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya telah menjadi lokasi lawatan Delegasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Rantau Pasifik Barat bagi sesi fotografi dan dokumentasi pelaksanaan Program Kesihatan Pergigian Sekolah di Malaysia.
Lawatan yang berlangsung pada 10 Ogos 2026 ini bertujuan mendokumentasikan pelaksanaan Program Kesihatan Pergigian Sekolah dan Program Pemakanan Sekolah di Malaysia sebagai sebahagian daripada bahan bagi penyediaan Laporan Tahunan WHO Rantau Pasifik Barat. Sesi ini turut memberi peluang kepada delegasi antarabangsa untuk melihat secara langsung pelaksanaan program kesihatan sekolah yang dilaksanakan secara kolaboratif melibatkan pelbagai agensi di Malaysia.
Delegasi WHO yang hadir terdiri daripada Dr. Deepa Gamage, Mr. Varun Kumar dan Mr. Muhd Ikmal Bin Adom @ Mohamer, selaku jurufoto WHO. Turut hadir ialah Puan Nurul Nadia binti Hamdan, Pegawai Pendidikan Kesihatan, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Ibu Pejabat; Dr. Puteri Nur Diyana binti Dzulkefli dari Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor; Dr. Patimah binti Abd Rahim, Pegawai Pergigian Daerah Kuala Langat; serta Puan Yuhanis Auri binti Abd Kasim dan Puan Khalidah binti Mat Husin, Pegawai Sains Pemakanan, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat.
Turut terlibat dalam lawatan ini ialah anggota daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat, Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah (PKPD) Kuala Langat dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Langat, yang bersama-sama menyokong kelancaran pelaksanaan sesi dokumentasi tersebut.
Sesi Lawatan dan Dokumentasi
Lawatan dimulakan dengan sesi kata-kata aluan oleh Guru Besar SK Sijangkang Jaya, Puan S. Rosy binti Ahman, yang kemudiannya disusuli dengan taklimat ringkas serta tayangan video berkaitan pelaksanaan program-program kesihatan di sekolah.
Delegasi seterusnya dibawa ke kantin sekolah bagi sesi fotografi dan dokumentasi pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Sesi ini memberikan gambaran mengenai usaha pemerkasaan pemakanan sihat dalam kalangan murid melalui program pemakanan yang dilaksanakan di peringkat sekolah.
Delegasi kemudiannya meneruskan sesi fotografi di Bilik Kesihatan Sekolah bagi mendokumentasikan pelaksanaan Program Kesihatan Pergigian Sekolah.
Pada sesi tersebut, delegasi berpeluang menyaksikan secara langsung aktiviti pemeriksaan pergigian, rawatan pergigian serta Latihan Memberus Gigi (LMG) yang dilaksanakan oleh anggota pergigian, khususnya Juruterapi Pergigian, dengan penglibatan murid-murid SK Sijangkang Jaya.
Penglibatan Kelab Doktor Muda
Salah satu aspek yang turut diberi perhatian dalam sesi fotografi ialah penglibatan ahli Kelab Doktor Muda dalam aktiviti Latihan Memberus Gigi.
Penglibatan murid-murid ini memperlihatkan pendekatan promosi kesihatan secara rakan sebaya, di mana murid bukan sahaja menerima pendidikan mengenai penjagaan kesihatan pergigian, malah turut berperanan dalam menyokong dan menyebarkan amalan penjagaan kesihatan pergigian yang baik dalam komuniti sekolah.
Pendekatan sebegini dapat membantu memupuk kesedaran serta membentuk amalan penjagaan kesihatan pergigian sejak usia muda, di samping mewujudkan persekitaran sekolah yang menyokong gaya hidup sihat.
Memperkukuh Kerjasama Strategik
Lawatan Delegasi WHO Rantau Pasifik Barat ini merupakan satu platform yang bermakna untuk memperlihatkan kepada komuniti antarabangsa pelaksanaan program kesihatan sekolah di Malaysia, khususnya melalui kerjasama antara sektor kesihatan dan pendidikan.
Pelaksanaan Program Kesihatan Pergigian Sekolah di SK Sijangkang Jaya turut memperlihatkan komitmen berterusan anggota kesihatan pergigian dalam menyediakan perkhidmatan pencegahan, pemeriksaan, rawatan serta pendidikan kesihatan pergigian kepada murid-murid sekolah.
Kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), WHO serta agensi-agensi kesihatan dan pendidikan di peringkat negeri dan daerah amat penting bagi memastikan usaha memperkasakan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Diharapkan sesi fotografi dan lawatan ini dapat menjadi satu dokumentasi yang bermakna dalam mengetengahkan kejayaan serta amalan baik pelaksanaan program kesihatan sekolah di Malaysia, di samping terus memperkukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan WHO dalam bidang promosi serta pencegahan kesihatan.
Bersama membina generasi yang sihat, ceria dan bebas masalah pergigian. ๐ฆทโจ