17/08/2026
KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
17 OGOS 2026 | 4 RABI'ULAWAL 1448 H
3 PUNCA PEMUDA PH PANIK DENGAN KEHADIRAN YAB SANUSI KE SELANGOR
Serangan politik bertali arus daripada pimpinan Pemuda PH Selangor terhadap kehadiran YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor ke negeri Selangor dalam program Himpunan Jentera PAS Selangor yang bertemakan "PAS Memimpin" membuktikan himpunan ini telah memberi kesan amat besar kepada PH terutamanya apabila himpunan ini berlangsung ketika mereka terpaksa berhadapan dengan krisis kepercayaan rakyat yang semakin meruncing terhadap mereka.
PN semakin mendapat sokongan rakyat namun pada masa yang sama PH semakin ditolak dengan hebat oleh rakyat khususnya dalam PRN Negeri Sembilan PRN Johor dan PRN Sabah.
Hakikatnya kekecewaan rakyat terhadap PH yang telah tersasar jauh dari matlamat perjuangan mereka bukan perkara yang dapat diselindung lagi malah PH sendiri juga telah ditolak secara terbuka oleh bekas pemimpin dan pendukung perjuangan mereka.
Tiga punca utama mengapa Pemuda PH begitu panik dengan kehadiran YAB Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Selangor:
1. YAB Sanusi berjaya menarik minat anak muda Melayu dalam dunia politik
Beliau memiliki aura politik yang sangat unik dan dekat di hati rakyat, khususnya golongan anak muda marhaen. Gaya penyampaian beliau yang bersahaja, berani, dan sarat dengan mesej pemikiran politik yang tajam berjaya memecahkan naratif dan propaganda jahat PH untuk menguasai psikologi dan emosi anak muda. Kehadiran ribuan anak muda secara sukarela dalam setiap siri ceramah beliau amat menakutkan PH hari ini.
2. YAB Sanusi berjaya memimpin kebangkitan gelombang tsunami Melayu.
Kenyataan terbuka penganalisis politik yang menyatakan PN dan BN akan berjaya mengambil alih Kerajaan Negeri Selangor sangat mendukacitakan pemuda PH.
YAB Sanusi adalah antara tokoh pemimpin Melayu yang telah berjaya membuka mata majoriti Melayu elit dan marhaen untuk berjuang di bawah satu payung bagi mengembalikan keagungan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama persekutuan dan hak serta keistimewaan Melayu dalam negara ini tanpa menafikan hak kaum dan agama lain.
Pada masa yang sama, PH sehingga hari ini gagal mengambil tindakan disiplin ke atas ADN PH yang menyanggah secara lansung titah DYMM Sultan Selangor dalam usul menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor.
3. Rekod cemerlang YAB Sanusi mentadbir negeri Kedah walaupun terletak jauh daripada limpahan ekonomi di Lembah Klang.
Pada tahun 2025, ekonomi Kedah berkembang sebanyak 4.1 peratus kepada RM56.3 bilion. Sektor pembuatannya berkembang sebanyak 5.0 peratus, dipacu antaranya oleh produk elektrik, elektronik dan optikal.
Pada 2024, Kedah menerima RM45.8 bilion pelaburan diluluskan, meletakkannya dalam kelompok lima negeri utama negara.
Pada suku pertama 2024 sahaja, Kedah menduduki tempat pertama dalam kalangan negeri dari segi pelaburan diluluskan dengan nilai RM31.3 bilion.
Boeing yang mengambil alih Aerospace Composites Malaysia pada penghujung Disember 2023, menjadikan kilang di Bukit Kayu Hitam itu kemudahan pembuatan milik penuh Boeing yang pertama di Asia Tenggara. Kilang itu membekalkan produk komposit dan komponen untuk semua pesawat komersial Boeing serta menggaji kira-kira 1,000 pekerja yang mana 100% (daripada 1K ini) daripada rakyat Malaysia.
Porsche memilih Kulim sebagai lokasi pemasangan bagi pasaran Malaysia. Sejak pada 2024, kenderaan yang dipasang di Kedah turut dipasarkan ke Thailand. Operasi di Kulim turut berkembang memenuhi keperluan pasaran Porsche di luar Malaysia.
Pada masa yang sama, PH terus gagal mengagihkan kekayaan negeri ini kepada rakyatnya. Negeri kaya tetapi rakyat tetap hidup susah berdepan dengan kitaran ganas ekonomi yang sangat menekan.
Negeri kaya tetapi jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar sangat ketara. Negeri kaya tetapi perkhidmatan dan penyelenggaraan infrastruktur luar bandar masih lemah.
Pemuda PAS Selangor berpendapat kegelisahan dan rasa panik Pemuda PH itu adalah wajar. Kerana ini adalah isyarat awal yang sangat jelas dan kuat bahawa mereka akan tewas dalam PRU-16 akan datang insya-Allah.
Tanjak mahkota warisan bangsa,
Simpul mati hiasan kepala;
Teguh berjuang setiap masa,
Demi maruah bumi tercinta.
Sekian
Muhammad Faizzuddin Mohd Zai
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor